Friday, September 30, 2022
25.5 C
Brunei

Rangka Penang Woman akhirnya miliki wajah

-

GEORGE TOWN, 12 OGOS – Penang Woman, rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun dan ditemukan ketika kajian penyelidikan di Guar Kepah, Kepala Batas dekat sini, kini mempunyai ‘wajah’ lakaran yang siap pada 5 Julai lepas.

Lakaran wajah Penang Woman itu dibuat menerusi kaedah Forensic Facial Approximation (FFA) berdasarkan tengkoraknya oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil, Cicero Moraes, individu yang sering menjadi rujukan dalam bidang pembinaan semula wajah forensik di negaranya.

Artikel jurnal berkenaan wajah rangka manusia itu diterbitkan menerusi Applied Sciences, https://www.mdpi.com/journal/applsc pada 5 Ogos lepas, dengan kumpulan yang sama sebelum ini telah berjaya menghasilkan lakaran wajah Perak Man menggunakan kaedah 3D pembinaan semula secara maya, tahun lepas.

Seorang penyelidik USM yang juga penulis koresponden bagi jurnal itu, Shaiful Idzwan Sahidan berkata jurnal dan kajian penyelidikan itu dijalankan oleh tujuh penyelidik USM yang diketuai oleh Dr Johari Yap iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM.

Shaiful Idzwan yang ditemui hari ini berkata Penang Woman merupakan objek warisan yang tak ternilai dan sangat signifikan bagi tapak arkeologi Guar Kepah serta merupakan satu-satunya rangka Guar Kepah iaitu rangka ke-42 yang ditemukan oleh pengkaji Malaysia pada 19 April 2017 serta berada di Pulau Pinang.

“Rangka Penang Woman satu-satunya dijumpai di bawah Bukit Kerang iaitu timbunan cangkerang kira-kira 7 meter oleh pengkaji Malaysia yang kita perlu menjaganya demi warisan bersama.

“Rangka manusia itu dianggarkan mati ketika berusia 30 hingga 35 tahun dengan ketinggian kira-kira 150 cm dan ujian pada tisu rangka turut menyimpulkan bahawa individu ini banyak mengambil protein daripada makanan laut atau sungai,” katanya. – Bernama

Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) Shariful Idzwan Sahidan menunjukkan lakaran wajah Penang Woman dan replika rangka manusia yang berusia lebih 5,000 tahun yang ditemukan ketika kajian penyelidikan di Guar Kepah, Kepala Batas. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -