BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Bagi mengukuhkan lagi rangka perundangan ketidaksolvenan di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Aturan Perintah Ketidaksolvenan (Pembubaran) 2018 dan Aturan Perintah Ketidaksolvenan (Pengamal Ketidaksolvenan) 2018 berkuatkuasa 19 September 2018.
Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, menerangkan Aturan Perintah Ketidaksolvenan (Pengamal Ketidaksolvenan) 2018 adalah bagi menguatkuasakan Bahagian VIII pada Perintah Ketidaksolvenan 2016 yang mengandungi peruntukan-peruntukan bagi pengendalian dan pengawalseliaan pengamal-pengamal ketidaksolvenan.
Dengan penguatkuasaan Aturan Perintah Ketidaksolvenan (Pengamal Ketidaksolvenan) 2018 ini, syarikat-syarikat boleh memilih dan menetapkan seseorang pelikuidasi (liquidator) yang berdaftar untuk diberi kuasa dalam pengurusan syarikat yang tidak solven.
Bagi permohonan untuk mendaftar sebagai pelikuidasi, bolehlah mendapatkan maklumat lanjut di Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Manakala maklumat lanjut mengenai aturan-aturan ketidaksolvenan bolehlah melayari www.mof.gov.bn atau membeli salinan di Jabatan Percetakan Kerajaan serta memuat turun daripada laman sesawang Pejabat Peguam Negara di www.agc.com.bn.