Rangka strategi henti najis dadah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Bandar Seri Begawan dan Daerah Temburong yang sedang giat dilaksanakan akan menyebabkan pengawalan kemasukan dadah di negara ini menjadi lebih mencabar.

Dalam hubungan itu, platform seperti Mesyuarat Kerjasama Dua Hala antara Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah penting bagi kedua-dua belah pihak untuk sama-sama berkongsi maklumat dan bertukar-tukar fikiran untuk menyelesaikan isu-isu yang perlu ditangani pada kadar segera.

Perkara ini antara yang ditekankan oleh Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Awang Mahadi dalam ucapannya selaku pengerusi bersama Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-19 BKN dan JSJN yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau telah menerangkan sedikit sebanyak mengenai situasi dadah di Negara Brunei Darussalam, yang mana baru-baru ini BKN telah menemukan teknik penyeludupan dadah menggunakan uncang teh dalam dua kejadian berasingan.

Beliau percaya teknik ini telah dialami sendiri oleh pihak Malaysia dan Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali. Beliau juga turut menyentuh mengenai kejadian pada bulan lepas di mana Negara Brunei Darussalam berjaya menghalang kemasukan daun-daun kering yang dipercayai daun jenis khat melalui pos, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan.
Sementara itu, Pesuruhjaya PDRM, Datuk Mohd Khalil bin Kader Mohamad selaku pengerusi bagi pihak JSJN, PDRM dalam ucapan balasnya berkata, JSJN sedar bahawa Brunei turut terkesan dengan trend dadah semasa yang dilihat semakin meruncing.

Haji Mohd Jaffari ketika berucap pada Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-19 BKN dan JSJN yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Beliau menegaskan komitmen JSJN untuk mengeratkan kerjasama berterusan dengan BKN untuk merangka strategi-strategi baharu yang lebih komprehensif dan JSJN tidak akan membenarkan Malaysia menjadi pusat transit dadah.

Dengan bukti komitmen JSJN dengan penguatkuasaan menyeluruh, tambah beliau, Ops icebreaker dan Ops Damn Tokan akan dilaksanakan.

Katanya, salah satu strategi transformasi JSJN untuk menentangkan penyeludupan dadah adalah dengan melancarkan operasi-operasi berskala besar yang menyasarkan ketua-ketua dadah sama ada di peringkat domestik ataupun antarabangsa.

Strategi membanteras dadah di peringkat nasional, ujarnya lagi, akan dilakukan secara menyeluruh bermula dari akar umbi iaitu menyasarkan penagih-penagih dadah di port-port seluruh Malaysia seterusnya mengesan dan menangkap street pusher yang dikenal pasti berurusan terus dengan penagih-penagih jalanan.

Operasi-operasi seumpama itu adalah bukti komitmen penuh JSJN dalam menghentikan najis dadah daripada terus berleluasa.

Mesyuarat tahunan berkenaan yang diadakan secara berselang seli oleh kedua-dua belah pihak, bermatlamat untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua buah agensi dalam usaha bersama bagi pembanterasan penyalahgunaan dan pengedaran dadah haram di rantau ini.

Ia bertujuan untuk mengongsikan situasi dan trend dadah di kedua-dua buah negara, modus operandi terkini dan peruntukan perundangan yang berkaitan dengan pembanterasan penyalahgunaan serta pengedaran dadah haram.

Di samping itu, mesyuarat juga memberikan peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan mengenai amalan terbaik dan dengan adanya perbincangan itu, kedua-dua buah agensi dapat mempelajari dan meningkatkan lagi keberkesanan dalam pembanterasan pengedaran dadah yang merentas sempadan.