Rangka strategi kepelbagaian dan kebersamaan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) kini sedang menghoskan Bengkel Kebangsaan bagi Kepelbagaian dan Kebersamaan di peringkat rantau Asia Pasifik yang berlangsung selama empat hari hingga esok di Ibu Pejabat PPNBD.

Bengkel berkenaan telah dirasmikan oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Haji Matusin bin
Orang Kaya Sura Haji Tuba pada majlis perasmian pada 8 September lalu.

Lebih 30 orang pemimpin pengakap dari negara-negara Asia Pasifik termasuk Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Hong Kong, India, Indonesia, Kiribati, Malaysia, Maldives, Myanmar, Nepal, Singapura dan Timor Leste menyertai bengkel empat hari tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPNBD, sepanjang bengkel berkenaan para peserta bengkel didedahkan kepada konsep kepelbagaian dan kebersamaan yang digariskan oleh Pergerakan Pengakap Sedunia selain perkongsian amalan-amalan terbaik negara-negara lain dalam pergerakan pengakap mereka.

Di samping itu, peserta juga merangka pelan tindakan bagi melaksanakan dasar kepelbagaian dan kebersamaan mengikut keperluan dan kesesuaian pergerakan pengakap di negara masing-masing.

Kenyataan menyatakan, bengkel bertujuan untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin pengakap dari rantau Asia Pasifik untuk merangka strategi kepelbagaian dan kebersamaan bagi diguna pakai di peringkat pergerakan pengakap di negara masing-masing.

Manakala itu, objektifnya adalah bagi mewujudkan pemahaman umum tentang prinsip-prinsip kepelbagaian dan kebersamaan dalam semua aspek, mengenal pasti isu generik dan spesifik pergerakan pengakap di negara masing-masing yang berkaitan dengan kepelbagaian dan kebersamaan.

Selain itu juga mendedahkan peserta mengenai kaedah praktikal bagi mengukuhkan kepelbagaian dan kebersamaan di semua peringkat dan membangunkan pelan tindakan dan strategi kemasukan dan inklusif bagi peringkat pergerakan pengakap di negara masing-masing.

Aktiviti percambahan minda yang dijalankan pada hari pertama bengkel.