Rangka T-rex bakal dilelong AS$8 juta

NEW YORK, 16 SEPT – Rangka dinosaur setinggi 40 kaki yang diberi nama ‘Stan’, salah satu spesimen Tyrannosaurus rex yang paling sempurna pernah dijumpai, akan dilelong di New York bulan depan dan berkemungkinan akan memecah rekod jualan seumpamanya.

Dijumpai pada tahun 1987 berhampiran Buffalo, South Dakota, rangka dengan jumlah 188 tulang itu mengambil masa lebih dari tiga tahun untuk digali keluar dan dicantumkan semula oleh ahli paleontologi dari Institut Penyelidikan Geologi Black Hill, di mana ia dipamerkan sejak itu.

Stan, yang mana para penyelidik anggarkan mati kira-kira 60 juta tahun dahulu ketika berusia 20 tahun, telah digunakan sejak itu sebagai replika bagi puluhan muzium yang tidak sabar untuk mendapatkan model T-rex mereka.

Hanya kira-kira 50 rangka dari karnivor terbesar yang merayau-rayau di bumi telah ditemui sejak kali pertama pada 1902.

James Hyslop, dari firma jualan lelong Christie’s berkata, “Tidak banyak rangka yang sempurna yang boleh ditemui di luar sana.”

“Ia adalah peluang seumur hidup untuk mendapatkan T-rex yang hampir lengkap sebegini.”

Jualan akan diadakan di New York pada 6 Oktober, dengan bidaan dijangka bermula AS$6 juta hingga AS$8 juta – jumlah yang hampir sama dengan AS$8.4 juta yang dibayar untuk T-rex bernama Sue pada Oktober 1997. – AFP

Rangka dinosaur yang paling sempurna setinggi 40 kaki yang diberi nama ‘Stan’ akan dilelong di New York bulan depan. – AFP