Rangking UTB terus meningkat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Kedudukan Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rangkings (QSWUR) 2021 terus meningkat 29 tangga dari tahun sebelumnya ke kedudukan 350.

Naib Canselor UTB, Professor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman turut mengongsikan rasa kesyukurannya atas kejayaan UTB tersebut dan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor UTB atas kepimpinan dan visi Baginda bagi mengembangkan dan meningkatkan pendidikan STEM di negara ini.

Selain itu, beliau turut melahirkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Majlis UTB atas kepercayaan, galakan dan sokongan terhadap UTB.

Kejayaan kali ini menunjukkan pencapaian dan pengiktirafan ke atas kebolehan UTB untuk memberikan impak global dalam pengajian tinggi, tambahnya.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut UTB berjaya meningkatkan kedudukan di QSWUR sejak penampilan pertamanya pada QSWUR 2019. Pada tahun 2019, kedudukan UTB melonjak naik sebanyak 92 tangga. Menurut laporan QS, sejak tiga tahun lalu, kedudukan UTB melonjak naik sebanyak dua kali serta tidak mempamerkan hasil keseluruhan yang negatif.

Universiti lain yang turut naik di tangga 350 teratas termasuklah University of Utah dan Yeshiva University di Amerika Syarikat; SOAS University of London and City, University of London di United Kingdom; Hiroshima University di Jepun; Ewha Womans University di Korea Selatan; American University of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu dan lainnya.

Ini membuktikan bahawa UTB berada dalam kedudukan yang sejajar dengan universiti-universiti antarabangsa lainnya di seluruh dunia.

Dalam QSWUR 2021, UTB telah dinilai dengan institusi antarabangsa yang berprestij dari seluruh dunia di mana sebanyak 1,604 buah institusi dari 93 buah negara telah mencapai kriteria dan layak untuk diberikan kedudukan QSWUR namun hanya 1,002 buah institusi yang diterbitkan ke dalam QSWUR 2021 pada tahun ini.

Semua institusi dinilai berdasarkan enam petunjuk prestasi termasuklah kekuatan dalam Academic Reputation, Employer Reputation, Faculty- Student Ratio, Citations per Faculty, International Faculty Ratio, dan juga International Students Ratio.

Dari keputusan keseluruhan menyaksikan bahawa UTB berada dalam kedudukan 30 peratus teratas di QSWUR.

Menurut laporan daripada QS lagi, UTB menyerlah dalam Faculty-Student Ratio. Berada pada tangga ke-79 dunia, Faculty-Student ratio telah melonjak naik sebanyak 29 tangga yang mana menjadikannya sebagai petunjuk kukuh bagi UTB pada tahun ini dengan perolehan 91.5 peratus.

UTB juga mendapat penilaian tertinggi dalam International Faculty Ratio dengan perolehan mata 99.3 peratus di mana ia membuktikan komitmen berterusan UTB dalam memberikan pengajaran dan pembelajaran pelajar yang berkualiti tinggi yang mempunyai pelbagai perspektif antarabangsa di samping daya tarikannya kepada kakitangan akademik antarabangsa.

Selain itu, Academic Reputation dan Citations per Faculty Ratio turut menjadi penyumbang peningkatan prestasi UTB pada tahun ini.

Dalam edisi 2020 QS Asia University Rankings, UTB berada di tangga ke-137.

Ini menjadikan UTB antara 150 universiti teratas di Asia dan 25 peratus teratas dari 500 buah institusi yang dinilai di seluruh benua ini serta UTB juga adalah satu-satunya universiti dalam negara ini yang dinilai dengan lima bintang oleh QS.