Rangnick puji prestasi United

LONDON, 6 DIS – Ralf Rangnick memuji persembahan luar biasa pemainnya selepas memulakan tugas pertama dengan menewaskan Crystal Palace 1-0 manakala Tottenham melanjutkan kecemerlangan mereka di bawah kendalian Antonio Conte apabila menumpaskan Norwich 3-0.

Pengurus baharu sementara itu mengekalkan skuad yang menewaskan Arsenal 3-2 di Old Trafford pada pertengahan minggu lalu ketika dikendalikan Michael Carrick.

Jurulatih dari Jerman itu dihadiahkan dengan corak permainan tinggi pada babak pertama sambil dibantu sokongan padu penyokong. Walaupun tahap agak menurun pada babak kedua, Fred muncul wira dengan meledak gol kemenangan.

Ia adalah perlawanan tanpa bolos pertama di tempat sendiri musim ini selepas hambar di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat bulan lalu.

“Saya sangat gembira dengan prestasi mereka terutamanya pada babak pertama, cara mereka menekan lawan memang bagus,” katanya kepada BBC.

“Cara kami bertahan, kami kuasai seluruh perlawanan dan keputusan tanpa bolos sangat penting.

Aksi Cristiano Ronaldo (kiri) berebut bola dengan Marc Guehi dari Crystal Palace semasa perlawanan di antara Manchester United dan Crystal Palace di stadium Old Trafford di Manchester, England pada 5 Disember. – AP

“Aspek ini yang kami perlu perbaiki dan perlu diteruskan. Dengan hanya sekali sesi latihan, saya sangat tertarik. Kami lakukan lebih daripada jangkaan.”

Gol kemenangan United diperoleh menerusi rembatan lencung Fred yang menewaskan penjaga gol Palace, Vicente Guaita selepas mendapat hantaran Mason Greenwood ketika permainan berbaki 13 minit.

Kemenangan itu melonjakkan United ke tangga keenam, tiga mata di belakang West Ham yang menduduki tangga keempat.

Spurs pula satu mata di depan United dengan berkelebihan satu perlawanan selepas menewaskan kelab corot Norwich yang juga merupakan kemenangan ketiga mereka berturut-turut dalam saingan Liga Perdana.

Conte mengambil alih tugas daripada Nuno Espirito Santo yang dipecat awal bulan lalu ketika Spurs menduduki pertengahan carta dan kini mula menampakkan kemajuan.

Pengurus baharu Aston Villa, Steven Gerrard memalukan bekas pengurusnya Brendan Rodgers di Liverpool menerusi kemenangan 2-1 ke atas Leicester City di tempat sendiri untuk kemenangan ketiga daripada empat perlawanan pertama di bawah kendaliannya. – AFP