Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Rangsang daya kreativiti kanak-kanak

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV – Kira-kira 50 orang penuntut Tahun 9 dan 10 dari sekolah-sekolah kerajaan telah dijemput bagi sama-sama meraikan Acara Kemuncak Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-16 di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), hari ini.

    Majlis sambutan berkenaan dianjurkan oleh KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, swasta dan persatuan-persatuan bukan kerajaan dengan tema ‘Masa Depan yang Lebih Baik Untuk Setiap Kanak- Kanak’.

    Hadir merasmikan sambutan selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Tema tahun ini memfokuskan ke arah penglibatan kanak-kanak yang bertujuan agar mereka dapat mempunyai visi dan matlamat yang lebih jelas, serta sedar akan pelbagainya haluan dan peluang yang mereka boleh terokai dan perolehi, untuk mencapai masa depan yang lebih baik.

    Pemangku Pengarah JAPEM, Dayang Mirany Floridzah binti Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, Hari Kanak-Kanak Sedunia disambut setiap 20 November dan tahun ini merupakan kali ke-16 ia diraikan di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi merasmikan Acara Kemuncak Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-16.
    Antara persembahan daripada penuntut sekolah pada majlis berkenaan.

    Bagi memeriahkan sambutan tahun ini, beberapa program telah disusun dengan gabungan tenaga serta sokongan rakan-rakan strategik dari Kementerian Pendidikan dan pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, agensi-agensi seperti BruCert serta badan-badan bukan kerajaan seperti Majlis Belia Brunei, Project women Brunei dan MyActionForSDGs.

    Sambutan tahun ini telah dimulakan dengan pemberigaan melalui radio dan televisyen, media cetak dan media sosial pada 16 November lalu, dan diteruskan kelmarin iaitu perutusan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta acara kemuncak pada hari ini.

    Sementara itu, ujar beliau lagi, bagi memastikan matlamat sambutan serta tema tercapai, terutamanya untuk kanak-kanak, sesi bengkel yang merangkumi topik mengenai kemahiran hidup untuk kedayatahanan pada masa hadapan, dan kepentingan kesihatan mental, telah disusun dan dikelolakan bersama dengan pemudah cara dan penyampai yang dijemput berdasarkan latar belakang dan kepakaran mereka dalam isu-isu berkenaan.

    Acara kemuncak sambut berkenaan telah dimeriahkan dengan persembahan pantomim oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Persembahan itu antara lain dihasratkan untuk menyuntik semangat kanak-kanak untuk menjadi insan yang lebih baik, dan juga memberikan gambaran mengenai kepentingan keteladanan ibu bapa sebagai pembimbing kepada anak-anak agar mempunyai masa depan yang lebih cerah serta menyedari kepentingan kesihatan mental.

    Acara juga diisikan dengan bengkel, sesi kongsi dan refleksi. Perkongsian diharap dapat membuka minda penuntut mengenai kepentingan memiliki kemahiran hidup serta menjaga kesejahteraan mental agar sentiasa berdaya tahan dan tidak mudah mengalah dalam dunia yang serba mencabar.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...