Rangsang kedayatahanan ekonomi, fiskal negara

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Dalam melaksanakan satu-satu rancangan, beberapa faktor perlu diambil kira seperti kedayatahanan projek, sumbangannya kepada perkembangan industri dan ekonomi serta kemampuannya merangsang kedayatahanan fiskal negara.

Setiap perancangan itu juga perlulah menekankan in-country value serta peningkatan kemahiran dengan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan. Sebagai bangsa merdeka dan progresif, kita tidaklah perlu terlalu banyak bergantung kepada tenaga kerja asing. Cara ini bukan suatu penyelesaian dalam mencapai sasaran pembangunan yang berdaya tahan, malah anak-anak tempatan perlu diberikan pendedahan kepada semua aktiviti tersebut termasuklah dalam sektor pembinaan dan sebagainya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Kali Pertama bagi tahun 2020 di Istana Nurul Iman, hari ini. Baginda seterusnya menekankan kaedah guna sama perlulah dititikberatkan, di mana setiap kementerian perlu memastikan bahawa mana-mana kemudahan yang ada supaya digunakan bersama secara baik.

“Sangat mustahak diingatkan bahawa pembangunan bukanlah bererti banyaknya bangunan yang dimiliki oleh setiap kementerian, tetapi apa yang lebih penting ialah kesepaduan untuk mencapai objektif pendekatan Whole of Government Approach. Perancangan juga biarlah untuk jangka panjang bagi mengelakkan pembaziran dan duplikasi dalam penggunaan sumber-sumber kerajaan,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda turut mengingatkan bahawa reka bentuk dan tawaran bagi projek-projek RKN ke-11 yang masih lagi dalam proses perancangan hendaklah diteliti semula bagi memastikan projek-projek berkenaan masih relevan untuk dilaksanakan.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi RKN Kali Pertama bagi tahun 2020 di Istana Nurul Iman, kelmarin.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menadah tangan semasa doa dibacakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Rancangan Kemajuan Negara Kali Pertama bagi tahun 2020 di Istana Nurul Iman. – Gambar oleh Infofoto
Turut berangkat pada mesyuarat tersebut ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Antara Yang Berhormat menteri-menteri kabinet yang hadir semasa mesyuarat tersebut.

“Seterusnya, seiring dengan peredaran zaman, Beta juga melihat agensi-agensi kerajaan adalah perlu memantapkan potensi ekonomi digital melalui penerapan Revolusi Industri 4.0 seperti BruHealth, MOHcares, Pengguna Bijak, Transport BN dan sebagainya serta pendekatan Whole of Nation Approach yang telahpun mula diaplikasikan di negara ini,” titah Baginda.

Tambah Baginda lagi, perkara tersebut adalah penting untuk negara ini bagi menangani cabaran-cabaran mendatang termasuk sebagai usaha mengekalkan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran.

“Tidak diragukan lagi melalui Rancangan Kemajuan Negara, beberapa pencapaian telahpun dinikmati, namun Beta melihat telah tiba masanya untuk kita melangkah lebih ke hadapan bagi melakukan pembaharuan-pembaharuan sebagai kesinambungan di antara proses perancangan dan pemilihan projek. Ini juga kita anggap sebagai perancangan strategik yang disejajarkan sebagai guiding principle bagi memudahkan setiap agensi merancang dan menyediakan projek dengan lebih teratur.”

Titah Baginda dengan cara tersebut, ia akan mengukuhkan lagi kerjasama di antara setiap agensi yang berkepen-tingan sama ada di kalangan sektor kerajaan mahupun sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLCs), Public Private Partnership (PPP) dan juga Pelabur Langsung Asing (FDI).

“Beta juga turut mengambil maklum bahawa Economic Blueprint bagi Matlamat Ke-3 dalam Wawasan Brunei 2035 telahpun disediakan. Sehubungan itu, Beta berharap akan dapat melihat wujudnya Manpower Blueprint bagi Matlamat Pertama dalam wawasan yang akan diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council, dan Social Blueprint bagi Matlamat Ke-2 pula, akan diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

Terdahulu semasa mesyuarat tersebut, Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di atas pimpinan, khidmat bakti, tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkan selama menjadi Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi RKN.

Baginda turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua ahli di atas pelantikan semula dan pelantikan baharu dalam Jawatankuasa Tertinggi RKN serta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi di atas sumbangan-sumbangan mereka yang lalu.

Menurut Baginda, perubahan jawatan pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa ter-tinggi RKN ini adalah merupakan wadah strategik satu perubahan biasa. Ia diharapkan akan terus memikul tanggungjawab untuk mencetuskan pemikiran-pemikiran atau idea-idea besar bagi faedah kemajuan negara.

Baginda turut menekankan semua mesyuarat perlulah berasaskan kepada penelitian-penelitian yang rapi yang didukung oleh fakta-fakta yang betul dengan perbincangan pula lebih terbuka dan memfokus isu-isu yang relevan untuk pertumbuhan sosial ekonomi terutama selain sektor minyak dan gas.

“Beta melihat apa jua perancangan di bawah projek Rancangan Kemajuan Negara yang akan datang khasnya Rancangan Kemajuan Negara ke-12 tidak hanya akan memberikan tumpuan kepada penyediaan atau pembinaan infrastruktur sahaja, bahkan turut lebih perlu ialah menjurus kepada projek-projek yang boleh menyumbang kepada efisiensi dan produktiviti,” tambah Baginda.

Turut hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Yang Berhormat menteri-menteri kabinet.