MILAN, 8 DIS – Roma mengalahkan Lecce 4-1 dalam Serie A kelmarin, memberikan Claudio Ranieri kemenangan pertama sejak dilantik sebagai pengurus pada pertengahan November.
Ranieri, pengurus berusia 73 tahun yang berpengalaman luas dan pernah memimpin Leicester meraih gelaran Liga Perdana Inggeris secara mengejut pada 2016, adalah pengurus ketiga Roma dalam musim yang penuh cabaran ini.
Roma mencatatkan satu keputusan seri dan dua kekalahan sejak Ranieri mengambil alih, tetapi mereka tidak membuat kesilapan di Stadium Olimpik kelmarin.
Perlawanan berlangsung sengit pada separuh masa pertama apabila Alexis Saelemaekers berjaya menjaringkan gol pembukaan. Namun Lecce menyamakan kedudukan hasil jaringan Nikola Krstovicmelalui sepakan penalti pada minit ke-40.
Pada separuh masa kedua Roma menguasai permainan dengan gol daripada Gianluca Mancini, Niccolo Pisilli dan pemain tengah Perancis, Manu Kone, untuk menduduki tempat ke-11 dalam carta.
Sementara itu dalam perlawanan lain, Samuel Mbangula meledak gol penyamaan yang menakjubkan dua minit sebelum masa kecederaan untuk menyelamatkan satu mata buat Juventus menentang Bologna. – AFP