LONDON, 19 Feb – Pengurus pasukan Leicester City, Claudio Ranieri mengkritik pemain-pemainnya kerana kekurangan “keinginan dan semangat” dalam kekalahan 1-0 mereka kepada Millwall dalam persaingan pusingan kelima Piala FA semalam, kekecewaan terbaru bagi juara Inggeris itu.
Leicester, yang berada satu mata di atas zon penyingkiran dalam mempertahankan gelaran Liga Perdana mereka, belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan mereka.
Millwall beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang separuh masa kedua dan mencatatkan kemenangan menerusi jaringan minit ke-90.
“Saya mahu bercakap sekali lagi dengan para pemain dan berkata kami perlu berjuang pada setiap perlawanan,” kata Ranieri. “Siapa yang mahu berjuang? Beritahu saya. Saya mahu tentera, saya memerlukan gladiator.
“Ia pelik kerana musim lalu kami menang, untuk lebih berazam berbanding pesaing dan beraksi dengan semangat berbanding pesaing.
Kami mungkin juga tewas tetapi kami akan berjuang bagi setiap perlawanan. Saya mahu melihat ini, perjuangan sehingga akhir.”
Perlawanan Leicester seterusnya adalah menentang Sevilla dalam perlawanan pertama 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu ini. – AP