Ranking Brunei meningkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dalam laporan Forum Ekonomi Dunia pada Disember 2018, ranking kesaksamaan jantina Negara Brunei Darussalam di Asia berada di kedudukan ke-12, sementara di peringkat global, Negara Brunei Darussalam berada pada ranking ke-90, naik 12 kedudukan dari tahun sebelumnya.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii berkata, laporan itu juga menunjukkan Brunei berada pada kedudukan pertama dalam pendaftaran pendidikan menengah dan lanjutan manakala bagi petunjuk kesihatan dan kehidupan, Brunei juga berada pada kedudukan pertama dalam nisbah jantina semasa kelahiran.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Bengkel Generasi Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI): Memajukan Kesaksamaan Jantina di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Matthew J Matthews.

Hadir sama ialah perwakilan dari negara sahabat, pegawai kanan dan pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta para peserta bengkel berkenaan.

Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi menerima cenderahati daripada TYT Matthews.

Dalam ucaptama itu juga, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi turut menyatakan bahawa sebagai sebuah negara dengan jumlah penduduk yang kecil, Brunei harus memastikan penglibatan sepenuhnya modal insan yang amat penting bagi kemapa-nan ekonomi negara.

Beliau menyatakan bahawa sesi-sesi yang diatur semasa bengkel itu, bukan sahaja akan menguji pemikiran dan pendekatan yang digunakan tetapi juga memberikan keutamaan untuk menjana persekitaran bagi golongan muda untuk menentukan masa depan mereka.

Dalam hubungan itu, semangat untuk menggalakkan kolaborasi, tegasnya, amat diperlukan dengan dunia akan berhadapan banyak cabaran dan akan memandang kepada golongan muda bukan sahaja sebagai ejen perubahan tetapi juga sebagai pemimpin masa hadapan yang berkebolehan.

Manakala itu, mengulas mengenai inisiatif YSEALI, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi berkata bahawa menerusi program itu, ia dapat menjana pembangunan kapasiti, kerjasama merentas sempadan, menangani cabaran global serta menjadi contoh positif kepada golongan belia sebagai program yang dapat memastikan rantau berkenaan berkembang menuju ke arah mencapai matlamat pembangunan mapan.

Terdahulu, TYT Matthews menyatakan Asia Tenggara merupakan salah sebuah pasaran terbesar di dunia di mana jika ia adalah sebuah negara, ia akan menjadi ekonomi kelima terbesar di dunia dengan gabungan KDNK mencapai AS$3 trilion.

Beliau menambah, perkara yang menakjubkan mengenai rantau ini, ialah potensi masa depannya di mana 65 peratus penduduk rantau ASEAN ialah mereka yang berusia di bawah 35 tahun.

Dalam hubungan itu, golongan muda berkenaan, serunya, perlu terlibat dalam menangani cabaran kebangsaan, serantau dan global ASEAN.