Rantai asteroid mudah dan menarik

Oleh Amri HTZ

Kemahiran dalam mereka barangan terutamanya menggunakan tangan bukanlah hanya bersandarkan bakat semula jadi semata-mata, malahan ia juga boleh dipelajari dan diperhalusi dengan menjalani latihan tertentu.

Hal ini amat berguna bagi mereka yang suka melakukan projek-projek DIY bertujuan menjimatkan perbelanjaan untuk mendapatkan sesuatu barangan mahupun yang sukar untuk didapatkan malahan, yang belum pernah direka.

Suatu projek rekaan yang penuh dengan keseronokan setentunya boleh dijadikan sebagai pelepas tekanan daripada pekerjaan yang dilakukan seharian. Oleh itu, pilih suatu projek yang cukup mudah tetapi menarik untuk dilakukan dan dalam projek ini, rantai bertema asteroid akan direka dijadikan sebagai perhiasan diri sendiri.

Barangan diperlukan

Sebelum memulakan projek pembuatan, terlebih dahulu sediakan alat pemotong paip, gergaji besi, paip tembaga (berukuran 1 ¼ inci, 1 inci, ¾ inci dan ½ inci), manik batu lava berukuran 10mm, rantai tembaga, manik tembaga, pin tembaga (eye pin), kertas pasir berukuran 800 grit, pita pengukur atau vernier caliper, pen penanda, bench vise, kikir besi, center punch, mata gerudi berukuran 1.5mm dan playar bagi membolehkan awda mereka rantai asteroid dengan jayanya.

Lakukan langkah satu persatu

Paip tembaga yang tersedia pada langkah pertama akan dipotongkan dengan lebar yang diperlukan menggunakan alat pemotong paip khusus. Menggunakan alat berkenaan untuk memotongnya cukup mudah di mana awda hanya perlu menetapkan kedudukan potongan, ketatkan pemutar atau bolt yang terdapat pada alat tersebut dan pusing 360 darjah.

Antara barangan yang diperlukan untuk mereka buah rantai asteroid.
Gambar menunjukkan kedudukan dan jumlah manik tembaga yang digunakan yang perlu diselaraskan untuk kedua-dua sisi.
Potongan paip yang disusun mengikut kedudukan itu ukuran besar di bahagian luar dan kecil di bahagian dalam.
Proses menebuk permukaan tengah atas dan bawah paip menggunakan gerudi yang ditetapkan pada bench vise.
Proses pemotongan paip tembaga menggunakan gergaji besi.

Setelah itu, ketatkan lagi pemutar alat dan lakukan hal yang sama sehinggalah paip terpotong. Namun perlu diingatkan alat tersebut perlu khusus untuk tembaga di mana alat yang serupa khusus PVC tidak akan dapat memotongkannya.

Selain menggunakan alat pemotong paip khusus, awda juga boleh menggunakan gergaji pemotong besi untuk melakukannya. Tandakan lebar potongan yang diperlukan, dalam hal ini lebar 7mm diperlukan, menggunakan pita pengukur atau lebih mudah menggunakan vernier caliper.

Setelah menandakannya, tetapkan kedudukan paip secara sementara menggunakan bench vise kemudian potong permukaan yang ditandakan.

Permukaan kasar terhasil daripada proses pemotongan pada langkah seterusnya perlu diratakan semula agar tidak mendatangkan kecederaan ketika mengendalikan mahupun mengenakannya.

Mula-mula gunakan kikir besi berbentuk leper untuk meratakan permukaan luar paip diikuti dengan kikir berbentuk bulat untuk bahagian dalamnya. Setelah itu awda bolehlah menghalusinya menggunakan kertas pasir bagi keseluruhan permukaan tersebut.

Lakukan langkah yang sama untuk kesemua empat paip tembaga dengan ukuran berbeza yang tersedia. Dengan potongan-potongan paip tersebut, awda kini telah mendapatkan bentuk kasar yang diinginkan dengan susunan yang besar di bahagian luaran, dan yang lebih kecil pada bahagian dalaman.

Langkah seterusnya ialah menebuk bahagian tengah atas dan bawah paip tersebut menggunakan mata gerudi berukuran 1.5mm. Pastikan kedudukan lubang yang ditebuk adalah selaras bagi membolehkan pin dimasukkan dan paip-paip bergerak bebas ketika diputarkan nanti.

Untuk itu, tandakan kedudukan terlebih dahulu dan gunakan center punch bagi memastikan mata gerudi kekal pada kedudukan ketika digunakan. Ketika proses menebuk, kekalkan kedudukan paip menggunakan bench vise.

Seperti langkah sebelumnya, permukaan kasar yang terhasil daripada proses penebukan perlu diratakan menggunakan kertas pasir. Setelah melakukannya, kini awda boleh meneruskan langkah untuk memasukkan manik-manik yang tersedia mengikut susunan.

Sebelum membolehkan awda memasukan manik-manik berkenaan, terlebih dahulu pastikan pin tembaga tersedia yang bakal digunakan dalam keadaan baik.

Ini terutama pada bahagian bulatan hujung pin yang berfungsi sebagai penggantung pada rantai dan ia perlu kukuh. Selesai memeriksanya, masukkan dua biji manik diikuti dengan paip tembaga paling besar, kemudian sebiji manik dan paip tembaga ketiga kecil, sebiji manik dan paip tembaga kedua kecil, dua biji manik dan paip paling kecil, dua biji manik kecil dan manik batu larva pada bahagian tengah.

Susunan manik seterusnya perlulah berbalas dengan jumlah manik yang dimasukkan sebelumnya.

Bahagian hujung pin pada langkah seterusnya akan dibentuk membulat sama seperti bahagian hujung pin yang satu lagi.

Untuk membolehkan awda mendapatkan bentuk sedemikian dengan sempurna, gunakan playar jenis rosary atau jewelry. Dengan bahagian jaw playar yang membulat, awda akan mampu membentuk hujung pin dengan mudah. Jika tidak yakin untuk melakukannya, gunakan lebihan pin tersedia sebagai latihan sebelum melakukannya pada rekaan sebenar.

Langkah terakhir ialah menyambungkan kedua-dua bahagian hujung pin dengan rantai tersedia. Jika bahagian hujung rantai sukar untuk disambung bersama buah rantai, awda perlu mereka dua bentuk cecincin menggunakan lebihan pin tembaga yang ada.

Dengan langkah ini, kini awda boleh menghadiri sesuatu acara sains yang berkemungkinan sesuai dengan tema rekaan kali ini, asteroid.