KUALA LUMPUR, 5 Mei – Maybank Kim Eng, cabang perbankan pelaburan Maybank Group, menjangka pertumbuhan yang lebih kukuh bagi Asia pada tahun ini disokong oleh pemulihan dalam perdagangan dan harga komoditi.
Dalam kenyataan hari ini, katanya rantau ini telah menyaksikan pemulihan yang kukuh dalam eksport dan perkhidmatan berkaitan perdagangan sejak akhir 2016, memberi manfaat kepada kebanyakan ekonomi Asia, terutamanya negara yang bergantung kepada perdagangan.
“Ekonomi Asia Timur iaitu Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan China adalah sebahagian daripada rantaian bekalan elektronik global dan mendapat manfaat daripada pemulihan dalam eksport elektronik.
“Banyak negara ASEAN turut mendapat manfaat daripada pemulihan perdagangan dan peningkatan harga komoditi. Bank Pembangunan Asia menjangka pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus di Asia pada 2017 dan 2018, di hadapan kebanyakan ekonomi maju,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk John Chong, berkata Asia mempunyai asas yang kukuh dan pertumbuhan struktur mampan jangka panjangnya menggalakkan berdasarkan demografinya dan pelaburan infrastruktur yang semakin meningkat.
“Asia juga lokasi kepada dua ekonomi pesat membangun terbesar di dunia, India dan China, kedua-duanya mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan sebanyak enam hingga tujuh peratus.
“Ini akan memberi faedah limpahan yang besar kepada ekonomi sekitarnya. Pelaburan langsung luar China meningkat sebanyak 28 peratus kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) kepada AS$1.1 trilion dari 2010 hingga 2015, dengan Asia menyumbang 70 peratus daripada pelaburan luarnya,” katanya. – Bernama