Rapatkan jurang digital melalui latihan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Penggunaan teknologi dan peralatan digital telah dikenal pasti menyumbang ke arah pengurangan jurang digital dalam usaha menjana perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang kompetitif, berdaya tahan dan inovatif selaras dengan usaha negara mempromosikan pendigitalan.

Sehubungan itu, untuk mencapai keperluan dan kepentingan bersama itu, inisiatif Go Digital ASEAN diharap mampu merapatkan jurang digital melalui latihan literasi digital direka khusus bagi melengkapkan kemahiran berkenaan bukan sahaja untuk PMKS tetapi juga belia yang tidak bekerja terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARe), Javed Ahmad dalam kata alu-aluannya di Pelancaran Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perindustrian), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii, pegawai-pegawai dari DARe, Big BWN, Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) dan
jemputan khas.

Javed Ahmed menyampaikan kata alu-aluannya di Pelancaran Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, kelmarin.
Pengiran Hajah Zety Sufina ketika menghadiri pelancaran Go Digital ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam di Auditorium, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, kelmarin.

Javed menjelaskan lagi, pihaknya telah bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi tempatan sejak awal 2020 untuk membuat penilaian mengenai keperluan negara supaya dapat menyesuaikan dan menyediakan akses kepada literasi digital dalam kalangan belia-belia tidak bekerja dan pemilik-pemilik PMKS.

Penilaian itu, ulasnya, menunjukkan bahawa terdapat peluang untuk mencapai jumlah yang besar komuniti terpinggir yang tidak memiliki peranti mudah alih.

Pada masa yang sama, dalam mengenal pasti penembusan tinggi penggunaan peranti mudah alih dan media sosial, PMKS juga sedang mencari kaedah untuk memanfaatkan peralatan teknologi seperti e-Dagang terutamanya semasa pandemik COVID-19.

Di samping itu, ulasnya, kaum wanita juga dilihat sebagai kumpulan berpotensi untuk diperkasa dengan peralatan-peralatan berkenaan dan pada masa yang sama, mengimbangkan tanggungjawab mereka sebagai pengurus rumah tangga.

Javed turut menyatakan bahawa dengan kerjasama coursera, DARe juga telah mengumumkan edisi atas talian Industry Business Academy (IBA) yang menyediakan peluang kepada PMKS untuk belajar kemahiran perniagaan yang diperlukan secara atas talian.

Beliau menjelaskan dengan lebih 300 kursus dalam lapan domain perniagaan utama, IBA Online direka supaya lebih fleksibel, intuitif dan memenuhi keperluan sebilangan besar perniagaan di mana mereka mempunyai pilihan kursus-kursus yang luar daripada tenaga pengajar dan universiti terbaik di dunia.

Beliau yakin dengan inisiatif-inisiatif seperti Go Digital ASEAN dan IBA Online yang bersamaan dengan pelancaran Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 pada 4 Jun lalu oleh Majlis Ekonomi Digital, ia adalah selaras dengan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Negara Brunei Darussalam menjadi sebuah negara pintar.

Terdahulu, Ketua Perkhidmatan dan Nasihat Perniagaan DARe, Dayang Norlela Suhailee dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa dengan cabaran ekonomi yang dibawa oleh pandemik COVID-19, pelaksanaan inisiatif Go Digital ASEAN memberikan tumpuan kepada usaha membantu PMKS serta mereka yang terkesan untuk memanfaatkan pendigitalan supaya dapat terus mampu bersaing dan mengekalkan sebuah perusahaan yang berdaya tahan.

Go Digital ASEAN merupakan inisiatif serantau oleh ASEAN Coordinating Committe on Micro, Small and Medium Enterprises (ACCMSME) dan The Asia Foundation dengan geran sebanyak AS$3.3 juta daripada Google.org di mana ia direka untuk melengkapkan dan melatih sehingga 200,000 PMKS dan belia tidak bekerja termasuk wanita dengan kemahiran dan peralatan digital yang penting supaya mereka dapat memanfaatkan teknologi bagi membangunkan perniagaan mereka.

Ia juga dihasratkan untuk memberikan peluang kepada mereka memanfaatkan sepenuhnya ekonomi digital yang pesat berkembang serta mengembangkan lagi peluang ekonomi di seluruh ASEAN dan mengurangkan kesan negatif daripada krisis COVID-19.

Di Negara Brunei Darussalam, inisiatif berkenaan akan memberikan latihan kepada golong belia dan pemilik perusahaan untuk mendapatkan kemahiran bagi membukakan lagi pasaran untuk produk-produk mereka, menghasilkan kempen pemasaran digital mereka sendiri serta menyediakan peralatan untuk memantau dan menyesuaikan kempen pemasaran.