Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Raptai majlis ramah mesra Daerah Belait

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Daniel Lim

    BELAIT, 18 JULAI – Bagi memastikan kelancaran majlis menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait, satu acara raptai penuh telah diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, hari ini.

    Hadir bagi menyaksikan raptai penuh berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 bagi tahun ini.

    Turut hadir menyaksikan raptai itu, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN); pemangku pegawai Daerah Belait; dan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-76 tahun bagi Daerah Belait.

    Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait akan diadakan pada 21 Julai ini. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh KHEDN menyatakan bagi memastikan persiapan berjalan dengan lancar, orang ramai yang berhasrat untuk hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Kesemua individu dikehendaki melakukan ujian pantas antigen (ART) sebelum hadir ke Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait dan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth atau menggambar keputusan ART dengan menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan menulis nama, hari, tarikh dan jam.

    Pihak KHEDN turut mengingatkan, hanya individu yang mendapat keputusan negatif sahaja yang dibenarkan masuk selain itu, orang ramai juga dikehendaki sentiasa memakai pelitup muka, digalakkan menggunakan pensanitasi tangan dan tidak bersalam-salaman.

    Selain itu, orang ramai juga dikehendaki sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal dan individu yang mempunyai simptom-simptom seperti demam panas, batuk selesema, masalah pernafasan dan sebagainya adalah dinasihatkan untuk tidak menghadiri majlis.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa meninjau persediaan yang telah dilakukan bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang akan bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait pada 21 Julai nanti.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin semasa menyaksikan raptai penuh yang diadakan kelmarin.
    Peserta yang mengambil bahagian dalam raptai penuh yang diadakan di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait, kelmarin.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...