Raptai menaikkan bendera lancar

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Bendera Negara Brunei Darussalam akan mula berkibar megah dengan seluruh rakyat dan penduduk negara bersedia untuk sama-sama meraikan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun.

Sambutan perayaan itu merupakan acara yang mempunyai signifikan kenegaraan yang murni dan semangat patriotisme yang tinggi di mana seluruh rakyat dan penduduk di negara ini yang mendoakan bagi kesejahteraan dan keselamatan raja dan negara.

Sehubungan itu, latihan penuh Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun telah diadakan di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Ajman bin Haji Meludin selaku Pengerusi Jawatankuasa Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena sambutan perayaan tahun ini.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai KHEDN dan Jabatan Adat Istiadat Negara, pegawai-pegawai daerah serta ahli-ahli jawatankuasa upacara.

Awang Ajman menyerahkan bendera besar Negara Brunei Darussalam kepada ketua pasukan pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam.
Bendera besar Negara Brunei Darussalam berkibar megah semasa latihan berkenaan.
Kumpulan koir terdiri daripada para pelajar sekolah ketika mengiringi upacara latihan.

Majlis mula-mula menyaksikan pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Seterusnya, pasukan pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei pula bergerak masuk

dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei dan juga menyempurnakan pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam.

Latihan penuh yang diadakan itu adalah untuk memastikan semua persediaan bagi Upacara Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam berjalan dengan sempurna dan teratur.

Upacara berkenaan menyaksikan penglibatan anggota daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta perwakilan daripada jabatan-jabatan kerajaan.