Wednesday, April 24, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Raptai penuh awal tahun hijrah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Bagi memastikan kelancaran Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara yang akan diadakan pada 29 Julai, raptai penuh telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong yang merupakan tumpuan utama majlis berkenaan.

    Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut pagi tadi ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1444H; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

    Hadir sama ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    Majlis sambutan akan diadakan serentak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara bermula 5 petang dengan tumpuan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan masjid-masjid utama iaitu di Masjid Rancangan Perpindahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

    Antara pengisian majlis itu nanti ialah bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah dan Doa Awal Tahun Hijrah serta Tazkirah Hijrah.

    Tema sambutan ialah ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian: Memacu Wawasan Negara’.

    Sehubungan itu, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, orang ramai dan para jemaah adalah dijemput dan dialu-alukan untuk bersama-sama hadir ke majlis itu nanti, serta dinasihatkan agar mematuhi garis panduan kesihatan.

    Para jemputan dan individu terlibat dinasihatkan untuk melakukan ujian pantas antigen (ART) di rumah masing-masing sebelum hadir ke masjid dengan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth atau menggambar keputusan ART menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan menulis nama, tarikh dan jam. Hanya individu yang mendapat keputusan negatif sahaja yang dibenarkan masuk.

    Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai pelitup muka, tidak bersalam-salaman dan dimestikan membawa tikar sembahyang berukuran besar.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa meninjau persediaan bagi Majlis Sambutan Awal Tahun 1444 Hijrah Peringkat Negara, kelmarin. – Gambar oleh Adib Noor
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...