Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Raptai penuh kapal berhias sempena Jubli Emas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Sebanyak 37 buah kapal dan perahu akan terlibat dalam Perarakan Kapal-Kapal dan Perahu Berhias dan Pertunjukan Bunga Api yang akan diadakan pada 14 Oktober sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Majlis akan berlangsung di kawasan Dermaga Diraja dan Jalan Residency (dari Kianggeh hingga ke Jambatan Sungai Kebun) selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan merasmikan Jambatan Sungai Kebun.

    Raptai bagi majlis itu telah diadakan malam ini sebagai salah satu persediaan Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Menaiki Takhta khususnya Jawatankuasa Sektoral Perasmian Jambatan Sungai Kebun dan Perarakan Kapal-Kapal dan Perahu-Perahu Berhias, Pertunjukan Bunga Api.

    Antara yang hadir menyaksikan raptai berkenaan ialah pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Jubli Emas, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan hadir bagi sama-sama memeriahkan majlis tersebut di samping mematuhi peraturan jalan raya pada hari tersebut bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

    Jambatan Sungai Kebun bercahaya malam tadi semasa raptai penuh perarakan kapal dan perahu berhias sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Sultan Menaiki Takhta. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda