Raptai penuh Maulud Nabi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Ulang tahun hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW bakal diraikan di seluruh dunia dengan Negara Brunei juga tidak terkecuali mengingat tarikh bersejarah dalam kalendar Islam itu.

Tahun ini, majlis perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat negara akan diadakan pada 29 Oktober di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, bertemakan ‘Membangun dengan Akhlak Nabi Muhammad SAW’.

Sehubungan itu, bagi memastikan acara sambutannya kelak lancar, latihan penuh telah diadakan pagi tadi di masjid tersebut.

Hadir menyaksikan latihan penuh sambutan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1442 Hijrah.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara; Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1442H dan ahli-ahli jawatankuasa tertinggi lain.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ketika menyaksikan raptai penuh Majlis Perhimpunan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang akan diadakan pada 29 Oktober di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz dan Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa hadir pada latihan penuh sambutan tersebut.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie semasa menyaksikan latihan penuh yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.