Raptai penuh perhimpunan Maulud Nabi

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Umat Islam di negara ini akan meraikan kelahiran Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW dengan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1441 Hijrah yang akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, pada 9 November ini.

Bagi memastikan kelancaran acara sambutan tersebut di ibu negara, latihan penuh telah diadakan, hari ini. Hadir bagi memastikan majlis berjalan lancar ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan tahun 1441 Hijrah.

Juga hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yusof selaku pengerusi Jawatankuasa Kerja Perhimpunan dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1441 Hijrah serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain. Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bagi tahun 1441 Hijrah ialah ‘Meneladani Muamalat Rasulullah SAW’.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara (kiri) ketika menyaksikan raptai perhimpunan Maulud Nabi di ibu negara.