Raptai penuh semarak patriotisme

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Ribuan peserta menzahirkan rasa bangga dan cintakan negara ketika cuaca panas terik tidak mematahkan semangat serta komitmen mereka untuk memberikan bagi memastikan persembahan terbaik bagi Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35, tahun 2019 yang akan berlangsung pada 23 Februari di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa raptai penuh acara sambutan, hari ini.

Acara sambutan bersejarah bagi semua peserta berkenaan akan menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja pada Sabtu ini.

Berkenan berangkat untuk turut serta dalam acara latihan perbarisan lalu semasa raptai berkenaan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel.

Hadir untuk menyaksikan acara perbarisan dan persembahan bagi acara sambutan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 tahun 2019.

Turut hadir ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin; Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Sulit dan Laila Rahsia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi bin Pehin Orang Kaya Shahbandar Haji Awang Mohd Taha; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ketika berkenan berangkat menyertai acara latihan perbarisan lalu di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
YAM Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz; Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi; Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti; Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Shahbandar Dato Seri Setia Haji Awang Mohd Nawawi semasa hadir bagi menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-35, kelmarin.
Antara persembahan menarik dan perbarisan lalu yang diadakan pada sambutan berkenaan.

Lebih 140 pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah serta persatuan iaitu lebih 24,000 orang mengambil bahagian dalam acara sambutan berkenaan.

Pada akhir raptai penuh berkenaan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyatakan penghargaan atas komitmen semua peserta yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan serta yakin mereka akan memberikan yang terbaik pada hari persembahan nanti.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan berkenaan di mana komitmen yang ditonjolkan itu, menunjukkan semangat cinta pada negara serta patriotisme yang tinggi dalam sama-sama untuk menjayakan wawasan negara.

Semua itu adalah selaras dengan tema acara sambutan iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara’ yang mana ia diharap dapat memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 merupakan sambutan yang sangat penting bagi peserta-peserta yang terlibat khususnya menzahirkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mendokong kepimpinan bijaksana Baginda dan kerajaan Baginda dan dapat memperlihatkan semangat patriotisme, perpaduan yang jitu kepada rakyat dan penduduk negara khususnya dan juga masyarakat serantau dan dunia amnya.