Rashford ikrar perjuangkan ‘generasi istimewa’

LONDON, 10 NOV – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford kelmarin berjanji untuk meneruskan kempennya bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik selepas dia diberi penghormatan oleh Putera William.

Rashford, 24, telah diiktiraf atas kempen berprofil tinggi untuk memastikan kanak-kanak daripada latar belakang kurang berkemampuan tidak kelaparan semasa wabak COVID-19 ini.

Pemain bola sepak antarabangsa England itu diberikan pingat MBE (Ahli Perintah Empayar British) di majlis Istana Windsor oleh Putera William, yang juga berkhidmat sebagai presiden Persatuan Bola Sepak.

Rashford berkata dia akan memberikan MBE – satu anugerah untuk mengiktiraf pencapaian dan perkhidmatan kepada negara – kepada ibunya, Melanie, yang mem-besarkannya dan empat adik-beradiknya.

Dia berkata motivasinya adalah untuk memberikan anak-anak Britain perkara yang tidak dimilikinya ketika membesar dan menekankan setiap anak muda berhak mendapat ‘peluang’.

“Nampaknya banyak perkara yang berlaku tetapi untuk saya katakan dengan cara yang paling mudah, saya cuba memberikan kanak-kanak perkara yang saya tidak miliki semasa saya kecil. Jika saya ada, saya akan pergi dan mempunyai banyak lagi pilihan dalam hidup saya,” kata Rashford.

“Saya hanya memberi peluang kepada mereka dan saya rasa mereka berhak mendapat peluang itu. Anak mana yang tidak? Bagi saya ia adalah satu hukuman untuk mereka tidak mendapat barangan seperti makanan atau bekalan buku.

“Ia adalah perubahan kecil tetapi ia menjadi perubahan besar apabila awda melihat ganjarannya. Saya sedang melihat generasi yang akan datang selepas saya sebagai generasi yang sangat istimewa.

“Mereka hanya memerlukan sedikit bimbingan dan menunjuk ke arah yang betul dan apa yang saya lakukan ialah memberi mereka itu.” – AFP

Pemain bola sepak Manchester United dan England, Marcus Rashford menerima pingat setelah dilantik menjadi ahli MBE untuk perkhidmatan ke atas generasi istimewa kelmarin. – AFP