MANCHESTER, 18 April – Matteo Darmian menyokong rakan sepasukannya di Manchester United, Marcus Rashford untuk menjadi antara penyerang terbaik dunia selepas menyaksikannya menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 di laman sendiri menewaskan pendahulu Liga Perdana, Chelsea.
Rashford membuka jaringan di Old Trafford selepas menerima hantaran daripada pemain terbaik perlawanan, Ander Herrera, yang juga menjaringkan gol kedua United, sementara pengurus Jose Mourinho menikmati satu kemenangan ke atas bekas kelabnya.
Ia adalah jaringan kesembilan Rashford dalam musim ini, yang mana pemain berusia 19 tahun itu mendapati dirinya sukar selepas beraksi dengan hebat pada kempen United musim lepas.
“Saya fikir Marcus akan menjadi pemain yang hebat,” kata pemain bek Itali, Darmian. “Dia masih sangat muda dan saya fikir dia sangat penting untuk kami.

“Dengan kualiti yang ada padanya, dia mampu menjadi salah seorang yang terbaik, antara pemain paling penting di dunia.
“Saya rasa dia bermain dengan sangat baik dalam setiap perlawanan, mempunyai tendangan, pergerakan dan kepantasan yang menakjubkan.”
Dia menambah: “Kadangkala bagi seorang penyerang, ia adalah sesuatu yang biasa untuk mengharungi saat yang sukar (tidak menjaringkan banyak gol) tetapi saya harap dia akan terus bermain dengan baik, kerana ia membantu pasukan untuk mencapai objektif.” – AFP