Rashford rehat panjang

BELGIUM, 20 FEB – Harapan untuk beraksi bagi baki musim ini dan Kejohanan Eropah berkecai buat Marcus Rashford selepas diumumkan oleh ketua jurulatih Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bahawa Rashford bakal diketepikan sekurang-kurangnya ‘beberapa bulan’ dengan kecederaan belakang.

Pada mulanya, Solskjaer menjangkakan Rashford akan diketepikan selama enam minggu dengan masalah tekanan patah tulang berganda di bahagian belakang semasa perlawanan piala FA menentang Wolverhampton bulan lepas.

Akan tetapi, penyerang England tersebut melahirkan kebimbangan akan terlepas seluruh baki musim dan Euro 2020.

“Saya pasti berharap dia akan mampu kembali musim ini tetapi kami masih tidak pasti lagi,” Solskjaer memberitahu media menjelang perlawanan Liga Eropah kelompok 32 menentang Club Brugge.

Apabila ditanya mengenai risiko Rashford terlepas kejohanan Euro 2020, Solskjaer berkata: “Saya berharap bahawa dia akan bermain sebelum itu akan tetapi kami

tidak pasti. Jika sekiranya dia belum cergas, dia tidak akan menyertainya.”

Rashford sebelum ini yakin beliau akan ‘kembali sebelum musim berakhir’ selepas mengalami kecederaan beberapa hari selepas digantikan semasa perlawanan menentang Norwich pada perlawanan Liga Perdana dengan kecederaan belakang. – AFP

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford, bakal diketepikan bagi baki musim ini dan mungkin terlepas kejohanan EURO 2020. – AP