Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rashford wira Manchester United

    VIGO, 5 Mei – Sepakan percuma menarik Marcus Rashford ketika perlawanan berbaki 23 minit menyaksikan Manchester United membuat langkah penting bagi menuju ke final Liga Europa.

    Ketangkasan penjaga gol Celta, Sergio Alvarez membantu kelab dari Sepanyol itu terikat tanpa jaringan sebelum rehat separuh masa selepas menyelamatkan beberapa percubaan daripada Rashford, Henrikh Mkhitaryan dan Jese Lingard.

    Namun dia tersilap langkah apabila gagal menyelamatkan sepakan percuma Rashford, sekali gus meletakkan United berada di landasan selesa untuk ke pentas final di Stockholm, 24 Mei ini.

    Pengurus United, Jose Mourinho, memuji pemain mudanya itu, yang memainkan peranan penting tatkala The Red Devils ketiadaan kelibat penjaring terbanyak, Zlatan Ibrahimovic, yang mengalami kecederaan ligamen.

    “Dia pemain yang baru berusia 19 tahun dan amat menggemari bola sepak. Dia berusaha, matang dan apa yang penting bukan usianya tetapi kualiti yang dimilikinya,” kata Mourinho.

    Remaja sensasi Man United, Marcus Rashford (tengah) berebut bola dengan dua pemain Celta Vigo dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa. – AP
    Remaja sensasi Man United, Marcus Rashford (tengah) berebut bola dengan dua pemain Celta Vigo dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa. – AP

    Gol ke-11 Rashford musim ini membantu United menang 1-0 ke atas Celta Vigo, awal pagi tadi, sekali gus meningkatkan peluang United untuk menjuarai Liga Europa buat pertama kali serta menjamin tempat mereka ke Liga Juara-Juara musim depan.

    “Di separuh masa pertama, Sergio telah membuat beberapa penyelamatan penting dan dengan cara kami memulakan dan mengawal perlawanan di separuh masa pertama, saya fikir kami layak mendapat keputusan yang lebih bagus,” tambah Mourinho.

    “Tetapi pasukan lawan dan stadium sangat sukar, jadi saya berpuas hati dengan para pemain dan kerja mereka.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda