Rasis: United pertahan Young

LONDON, 18 April – Manchester United telah mengecam ejekan perkauman ke atas pemain pertahanan mereka, Ashley Young di media sosial selepas penyingkiran pasukan itu dari Liga Juara-Juara di Barcelona.

Young menjadi sasaran di Twitter susulan kekalahan 3-0 pada perlawanan kedua suku akhir kelmarin.

Ejekan ke atas Young mendapat kecaman dari United, yang dalam kenyataannya, “Manchester United sepenuhnya mengecam komen rasis di media sosial selepas perlawanan Liga Juara-Juara kelmarin.

“Kami kini sedang berusaha mengenal pasti individu-individu yang terlibat dan akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya ke atas mereka.

“Tiada tempat untuk perkauman dalam sukan kami, atau dalam masyarakat keseluruhannya, serta kami komited untuk menjadikan bola sepak bebas daripada segala bentuk diskriminasi.”

Pemain berusia 33 tahun itu sebahagiannya menjadi punca bagi gol pertama Barcelona selepas sepakannya dihadang, membawa kepada jaringan Lionel Messi.

Ahli kempen Kick It Out menggesa platform media sosial untuk bertindak susulan siri insiden perkauman.

Pertubuhan itu berkata melalui akaun Twitter, “Sekali lagi pemain berkulit hitam, kali ini Ashley Young menjadi sasaran ejekan perkauman di media sosial selepas perlawanan Liga Juara-Juara.

“Sekali lagi, kami bertanyakan @TwitterUK soalan yang sama, bila anda akan mengambil tindakan serius untuk menangani diskriminasi di atas platform anda?” – AFP

Luis Suarez (kiri) berebut bola dengan Ashley Young pada aksi kedua suku akhir di Camp Nou. – AFP