Thursday, February 13, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: 8 menteri Brazil antara disiasat

    BRASILIA, 13 April – Seorang hakim Mahkamah Agung Brazil membuka siasatan terhadap 100 ahli politik yang didakwa terbabit dalam skim rasuah terbesar di negara itu termasuk beberapa sekutu utama Presiden Michel Temer.

    Daripada jumlah yang disiasat ialah lapan menteri, 29 senator, 40 anggota parlimen, 12 gabenor dan lima bekas presiden, dikatakan terlibat dalam skim rasuah membabitkan syarikat minyak negara Petrobras.

    Hakim Edson Fachin mengeluarkan senarai nama mereka yang terlibat pada Selasa berdasarkan keterangan pegawai eksekutif tertinggi konglomerat pembinaan terbesar di Brazil Odebrecht.

    Senarai nama itu termasuk beberapa sekutu terdekat Presiden Temer antaranya Ketua Turus Eliseu Padilha, Menteri Luar Aloysio Nunes, Menteri Pertanian Blairo Maggi dan Menteri Wellington Moreira Franco yang mengetuai sebuah jabatan pelaburan infrastruktur.

    “Krisis politik meningkatkan risiko dan mengakibatkan institusi negara menjadi lumpuh apabila keseluruhan sistem politik Brazil dipersoalkan,” kata senator Jorge Viana yang juga dalam senarai disiasat.

    Suspek rasuah Brazil (atas dari kiri) Menteri Industri dan Perdagangan, Marcos Pereira; Menteri Pertanian, Blairo Maggi; Setiausaha Kerajaan, Moreira Franco; Menteri Luar, Aloysio Nunes Ferreira; senator pembangkang, Aecio Neves; (bawah dari kiri) Ketua Kakitangan Kerajaan, Eliseu Padilha; Menteri Sains dan Teknologi, Gilberto Kassab; Presiden Senat Brazil, Eunicio Oliveira; Presiden Dewan Rendah Kongress, Rodrigo Maia dan Menteri Perancangan, Romero Juca. – AFP

    Ketua Senat Eunicio Oliveira dan ketua dewan rakyat Rodrigo Maia juga dalam senarai.

    “Kebenaran akan terbukti. Sistem keadilan Brazil mempunyai kematangan dan tegas menjalankan siasatan serta mampu membezakan antara kebenaran dan pembohongan,” kata Eunicio Oliveira. Pengumuman senarai itu ekoran kerajaan pentadbiran Temer berdepan kritikan dan bantahan ke atas langkah penjimatan neo-liberal dan masalah ekonomi yang melanda negara.

    Presiden Temer berkata beliau hanya akan mengambil tindakan menggantung sementara menterinya jika proses siasatan disahkan undang-undang dan memaksa mereka meletakkan jawatan jika Mahkamah Agung memulakan perbicaraan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda