Rasuah: Lelaki terkaya Algeria ditahan

ALGIERS, 23 April – Lelaki paling kaya di Algeria, Issad Rebrab telah ditahan dalam penjara atas arahan pendakwa raya, lapor media kerajaan hari ini sehari selepas dia ditangkap sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.

Tindakan keras ke atas tuduhan rasuah itu disusuli dengan peletakan jawatan presiden veteran, Abdelaziz Bouteflika pada awal April selepas berminggu-minggu bantahan besar-besaran ke atas pemerintahan 20 tahunnya.

Rebrab, ketua eksekutif berusia 74 tahun merupakan pemilik syarikat konglomerat Cevital di Algeria telah ditempatkan dalam tahanan semalaman menurut agensi berita APS.

Majalah Forbes telah menyenaraikan Rebrab sebagai lelaki paling kaya di Algeria dan yang keenam terkaya di Afrika dengan nilai bersih sekitar AS$3.38 bilion pada 2019.

Dia “disyaki telah membuat kenyataan palsu mengenai pemindahan dana ke dan dari luar negara,” lapor APS.

Dia juga disyaki telah mengimport ‘peralatan terpakai’ meskipun tidak dikenakan cukai dan kastam jika membeli material baharu.

Awal kelmarin, Rebrab mengatakan dalam Twitternya yang dia secara sukarela ke balai polis untuk membincangkan ‘peralatan yang telah ditahan di pelabuhan Algiers sejak Jun 2018’.– AFP

Gambar fail bertarikh 30 Januari 2014 menunjukkan Issad Rebrab yang telah ditahan oleh polis Algeria pada 22 April 2019. – AFP