Rasuah: Lim Guan Eng diikat jamin RM1 juta

KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (gambar bawah) yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Hakim Azura Alwi membenarkan Lim, 60, membayar jaminan RM500,000 hari ini manakala bakinya perlu diselesaikan selewatnya pada Isnin selain memerintahkan pasport antarabangsa dan diplomatik Ahli Parlimen Bagan itu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan supaya tidak mengeluarkan sebarang komen yang akan subjudis terhadap kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin mencadangkan wang jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warganegara Malaysia terhadap Lim dan memohon dokumen perjalanannya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Wan Shaharuddin berkata jumlah jaminan RM2 juta adalah munasabah memandangkan status tertuduh ketika melakukan kesalahan adalah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan dia juga telah melanggar kepercayaan yang diberikan terhadapnya. Pada awal perbicaraan, sejurus selepas jurubahasa membacakan pertuduhan, Lim yang memakai sut hitam berkata ‘tidak bersalah’.

Mengikut pertuduhan, Lim, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa telah secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ia sebagai upah bagi membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang. Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd. – Bernama