Rasuah: Mengaku tidak bersalah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan memberi rasuah kepada anggota polis.

Milon, 24, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid yang kemudian menetapkan 26 Ogos untuk menentukan tarikh perbicaraan tertuduh.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang berjumlah $100 kepada seorang anggota polis supaya tidak mengambil tindakan ke atasnya yang didakwa melakukan kesalahan di bawah Perintah Tembakau, 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Tamu Kianggeh kira-kira jam 11:27 pagi pada 22 Julai 2019. Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hafizah binti Ahmad mengemukakan kesalahan yang dihukum di bawah Seksyen 6 (b) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 yang membawa denda $30,000 dan penjara tujuh tahun jika disabitkan kesalahan.