Friday, August 12, 2022
26.5 C
Brunei

Rasuah tidak janjikan kesenangan

-

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Terdapat lima perkara kenapa perbuatan rasuah itu dilarang oleh Allah SWT, jelas khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Cegah dan Hindari Rasuah’.

Khatib menjelaskan Allah melarang perbuatan rasuah kerana ia boleh menutup manusia daripada berkata benar, mengotorkan jiwa yang bersih, membuka pintu-pintu rahsia, menjadikan orang yang ikhlas itu khianat, membenarkan sesuatu yang salah dan menyalahkan sesuatu yang benar.

Gejala rasuah merupakan penyakit masyarakat yang berlaku tanpa mengira golongan atau kedudukan lapisan masyarakat di dunia ini. Khatib menyatakan dalam hadis Rasulullah SAW ada menyebutkan orang yang memberi dan menerima rasuah itu dilaknat Allah.

Allah telah menyediakan dan mengurniakan pelbagai sumber rezeki di muka bumi ini untuk manusia berusaha mencari rezeki tersebut dengan usaha dan kudrat.

“Dalam usaha mencari rezeki, kita hendaklah sentiasa berhati-hati mengikut landasan agama Islam supaya sumber rezeki yang diperolehi itu tidak dicemari oleh perkara yang tidak diredai oleh Allah seperti melakukan perbuatan rasuah.

“Rasuah merupakan satu pemberian berupa sogokan yang diberikan oleh seseorang atas sebab tertentu bagi membolehkan perkara yang dihajati dapat diperolehi, diselesaikan, disegerakan dan seumpamanya.

“Kesan dan implikasi gejala rasuah itu terhadap sosial, politik dan budaya boleh mengheret individu, masyarakat, bangsa dan negara kepada bencana disebabkan sifat tamak dan kerakusan kuasa manusia itu sendiri,” tegasnya lagi.

Selain itu, orang yang melakukan kesalahan menerima rasuah adalah orang yang tidak amanah dalam menjalankan tugas mereka dan hanya kerana suapan atau pemberian mereka sanggup mengkhianati majikan yang mempercayai mereka untuk kesenangan atau kemewahan dengan mudah.

Manakala bagi yang melakukan kesalahan memberi rasuah pula, mereka tidak jujur, mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah dalam mendapatkan sesuatu yang bukan milik mereka dengan memberi suapan atau pemberian kepada sesiapa saja supaya individu tersebut dapat melakukan apa yang dimahukannya.

Khatib dalam khutbahnya turut mengi-ngatkan, rasuah itu tidak pernah menjanjikan kesenangan dan kemewahan yang sebenar, walaupun memperolehi keuntungan yang sangat besar daripadanya.

Ini kerana hasil yang diperolehi melalui amalan rasuah itu adalah haram dan sebagai umat Islam kita hendaklah mencegah dan menghindarkan diri daripada perbuatan rasuah yang ditegah dan dilarang oleh Allah.

Dalam pada itu, sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut setiap 9 Disember, khatib menyeru semua untuk berganding bahu memerangi gejala rasuah dengan melaporkan kegiatan itu kepada Biro Mencegah Rasuah.

“Marilah kita berdoa supaya dijauhkan dan terhindar daripada melakukan perbuatan keji seperti rasuah dengan sentiasa menanamkan sifat amanah, jujur dan ikhlas dalam setiap tugas dan pekerjaan serta sentiasa tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan mencegah berbuat kejahatan,” tambahnya.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

DXY disekat kritik rawatan herba COVID

BEIJING, 11 OGOS – Sebuah laman web perubatan China yang popular telah ditapis oleh pihak berkuasa kerana 'melanggar undang-undang dan peraturan yang berkaitan', beberapa...
- Advertisment -