Rasuah: Tsang mengaku tidak bersalah

HONG KONG, 3 Jan – Bekas pemimpin Hong Kong, Donald Tsang, yang menamatkan tempoh jawatannya dalam keadaan malu selepas menerima rasuah dari taikun-taikun, mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan rasuah hari ini pada perbicaraan rasuahnya yang berprofil tinggi.

Tsang, 72 tahun telah memegang jawatan kepimpinan bagi ketua eksekutif selama tujuh tahun dari tahun 2005 merupakan pegawai Hong Kong berpangkat paling tinggi berdepan perbicaraan rasuah tersebut.

Kes itu telah mencetuskan kejutan di bandar yang telah meraih reputasi sebagai salah sebuah pasaran telus dan paling terbuka di dunia.

Dengan mengenakan sut biasanya dan tali leher kupu-kupu, Tsang yang nampak muram tiba berpegangan tangan dengan isterinya di Mahkamah Tinggi bandar itu sejam sebelum perbicaraan dijadualkan bermula pagi hari ini.

Dia mengaku ‘tidak bersalah’ atas tiga tuduhan salah laku dan rasuah. Setiap tuduhan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Donald Tsang (tengah) meninggalkan Mahkamah Tinggi bersama isterinya, Selina Tsang (kanan) semasa hari pertama perbicaraan rasuahnya di Hong Kong pada 3 Januari. – AFP
Donald Tsang (tengah) meninggalkan Mahkamah Tinggi bersama isterinya, Selina Tsang (kanan) semasa hari pertama perbicaraan rasuahnya di Hong Kong pada 3 Januari. – AFP

Tuduhan itu berkaitan tempoh apabila Tsang memegang jawatan ketua eksekutif.

Dia dituduh gagal mendedahkan rancangannya untuk memajak sebuah emper mewah di bandar berhampiran, Shenzhen daripada pelabur besar dalam penyiaran yang pada ketika itu berusaha mendapatkan lesen dari kerajaan Hong Kong.

Tsang dikatakan telah meluluskan permohonan syarikat itu bagi lesen tersebut dan juga gagal mengisytiharkan bahawa seorang arkitek yang dicadangkannya bagi anugerah kerajaan telah digaji sebagai pereka dalaman bagi emper tersebut.

Perbicaraan dijangka berjalan selama 20 hari. Dia sebelum ini berkata bahawa dia ‘amat yakin’ dia akan dibebaskan.

Pada 2012 dia meminta maaf atas tuduhan berasingan yang dia telah menerima hadiah tidak sesuai daripada seorang rakan perniagaan dalam bentuk percutian di atas kapal layar mewah dan jet peribadi. – AFP