Rasulullah SAW rahmat sekalian alam

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Agama Islam secara keseluruhannya adalah rahmat kepada umat Islam sama ada di dunia dan akhirat, sesuai dengan namanya yang bererti selamat dan mampu menyelamatkan penganutnya.

Agama Islam kemudiannya dilengkapkan lagi dengan utusan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW bersama Al-Quran yang juga merupakan rahmat daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW yang merupakan salah satu rahmat terbesar daripada Allah SWT ditekankan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah, Haji Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang dalam tazkirah subuh pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara hari ini.

Dalam tazkirah bertajuk ‘Rahmat untuk Sekalian Alam,’ beliau menjelaskan hari Isnin dan bulan Rabiulawal sebelumnya hari dan bulan yang tidak dipedulikan oleh masyarakat Arab, namun setelah kelahiran Baginda Rasulullah SAW, ia menjadi mulia dan ditunggu-tunggu kedatangannya.

Ini kerana Rabiulawal sinonim dengan Baginda kerana pada musim bunga, tumbuh-tumbuhan mengeluarkan bunganya dan mampu menggembirakan orang yang melihat bunga-bungaan tersebut. Begitulah juga sifat Baginda yang mampu menggembirakan dan menenteramkan orang yang melihatnya.

Hadir bersama-sama jemaah menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Seruddin bin Haji Timbang dan para pegawai lainnya.

Yang Berhormat Menteri di JPM bersama jemaah ketika mendengarkan tazkirah subuh di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.