Ratifikasi CPTPP mampu bantu eksport Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Ratifikasi awal Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan membantu pengeksport Malaysia mendapatkan akses pasaran keutamaan dalam negara-negara CPTPP untuk kekal berdaya saing berbanding pesaing serantau.

Presiden Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC) Callum Chen berkata dua pesaing serantau Malaysia iaitu Singapura dan Vietnam telah mendapat manfaat daripada keahlian CPTPP, mengguna pakai strategi mantap yang bertujuan mengukuhkan daya tahan dan kemampanan ekonomi mereka.

“CPTPP akan meningkatkan perdagangan luar dan memperkukuh pelaburan langsung asing (FDI) jangka sederhana hingga panjang di Malaysia dengan mengurangkan kos import dan eksport, mewujudkan medan perniagaan yang lebih seimbang untuk Malaysia di pasaran serantau dan meningkatkan akses pasaran antarabangsa bagi firma Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

CPTPP, perjanjian perdagangan yang menyatukan 11 negara di kedua-dua belah Pasifik; Kanada, Australia, Brunei, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. Walaupun Malaysia menandatangani perjanjian itu pada 2018, kerajaan masih belum meratifikasi CPTPP.

MCMTC berkata pihaknya berharap CPTPP akan diratifikasi oleh kerajaan menjelang Disember 2021 kerana ia adalah antara pilihan terbaik untuk menjaga kedudukan ekonominya dan pulih daripada pandemik COVID-19.

“Mendapatkan akses baharu atau akses diperluas ke pasaran eksport utama dan menarik lebih banyak pelaburan bermakna lebih banyak peluang bagi perniagaan, termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji yang lebih baik untuk rakyat Malaysia,” tambahnya. – Bernama