Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ratu Elizabeth II positif COVID-19

    LONDON, 20 FEB – Ratu Britain Elizabeth II (gambar fail – AP) diuji positif COVID-19 hari ini tetapi mengalami gejala ‘ringan’ dan beliau berhasrat meneruskan tugas ringan di kediamannya di Istana Windsor, kata pembantu.

    Berita itu keluar selepas Putera Charles, putera sulung dan waris takhta Britain, diuji positif pada 10 Februari, dua hari selepas bertemu dengan bondanya di Windsor.

    Tidak ada maklumat lanjut diberikan mengenai sama ada Ratu Elizabeth, yang bulan ini meraikan 70 tahun di atas takhta, telah menjalani ujian COVID-19. Beliau meneruskan perjumpaan di istana minggu lalu, namun mengadu kepada salah seorang hadirin mengalami kekejangan dan digambarkan menggunakan tongkat.

    “Istana Buckingham mengesahkan bahawa ratu diuji positif COVID-19 hari ini,” menurut kenyataan daripada istana.

    “Baginda mengalami gejala selesema ringan tetapi dijangka meneruskan tugas ringan di Windosr pada minggu akan datang,” katanya.

    “Baginda akan menerima rawatan perubatan dan mematuhi semua garis panduan sesuai.”

    Sementara bersifat rahsia mengenai kesihatan ratu, istana sebelumnya mengesahkan Baginda sudah menerima dos lengkap vaksin COVID-19. Persatuan Media Britain berkata ‘difahamkan beberapa kes juga telah dikesan di kalangan kumpulan Istana Windsor.’

    Ratu Elizabeth II juga dijadual menghadiri beberapa siri pertemuan awam pada minggu-minggu akan datang, termasuk perjumpaan dengan ahli politik dan diplomat, resepsi diplomatik di Windsor pada 2 Mac dan Majlis Komanwel di Westminster Abbey pada 14 Mac.

    Perayaan awam Platinum Jubli dijadualkan pada bulan Jun, dengan acara termasuk perarakan tentera, perlumbaan kuda dan parti pada hujung minggu 2 hingga 5 Jun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...