LONDON, 21 April – Ratu Elizabeth II menyambut ulang tahun kelahiran ke-91, dengan monarki paling lama memerintah itu semakin jarang melakukan tugas diraja bagi membuka jalan kepada generasi muda lebih ke hadapan.
Tembakan penghormatan di Tower Bridge di London dan di Hyde Park menandakan sambutan itu, upacara lebih kecil berbanding ketika sambutan ke-90, tahun lalu.
Seribu rumah api dihidupkan di seluruh negara hari ini, dan acara lain termasuk parti jalanan dan perarakan di kediamannya di Windsor Castle.
“Saya masih hidup,” seloroh Ratu Elizabeth pada Jun lalu ketika melawat Ireland Utara, antara tugasan bagi memenuhi agenda diraja.

Bagaimanapun, monarki paling popular itu mula menyerahkan tugasan kepada anggota diraja lain dan berundur sebagai penaung 25 badan akhir tahun lalu, termasuk kejohanan tenis Wimbledon. Walaupun Putera Charles adalah pewaris takhta Britain, perhatian lebih terarah kepada dua anaknya, William dan Harry, yang mengambil alih sebahagian tugasan nenda mereka.
Kehadiran dua anak Putera William dan isterinya, Kate Middleton, iaitu Putera George dan Puteri Charlotte, mengukuhkan pandangan positif rakyat kepada keluarga diraja.
Putera Harry turut dikagumi dan menerima pujian minggu ini kerana mengakui mendapatkan bantuan kaunseling beberapa tahun selepas kematian ibunya. – AFP