Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratu Elizabeth II sambut ulang tahun ke-95

    LONDON, 21 APRIL – Ratu Elizabeth II menyambut ulang tahun ke-95 hari ini, beberapa hari selepas menghadiri upacara pemakaman mendiang suami Putera Philip, dalam sambutan hari kelahiran pertama tanpa beliau di sisi dalam lebih tujuh dekad.

    Sambutan hari ulang tahun Ratu jatuh semasa tempoh dua minggu perkabungan diraja selepas kemangkatan Duke of Edinburg pada usia 99 tahun, yang disemadikan pada Sabtu di Royal Vault, St George’s Chapel di Istana Windsor.

    Ratu Elizabeth II, dilihat pada upacara pemakaman untuk kali pertama sejak kemangkatan Putera Philip, duduk bersendirian disebabkan sekatan koronavirus, dengan memakai baju dan topi serba hitam serta penutup mulut dan hidung.

    Dengan sekatan berterusan membataskan pergaulan, sambutan ulang tahunnya – biasanya dirai dengan tembakan hormat dan pengeluaran potret baharu – adalah terhad pada tahun ini.

    Walaupun raja berperlembagaan itu kembali menjalankan tugas awam beberapa hari selepas kemangkatan Philip, tidak adanya rancangan untuk menyambut ulang tahunnya secara awam.

    Ratu dijangka berada di Istana Windsor, barat London, di mana beliau dan mendiang Duke telah menghabiskan sepanjang tahun lalu disebabkan pandemik.

    “Ia akan menjadi hari di mana beliau boleh bersendirian,” kata Joe Little, editor majalah Majesty.

    Walaupun ulang tahun Ratu jatuh pada 21 April, ulang tahun rasminya biasa disambut pada Sabtu kedua bulan Jun, dalam satu tradisi yang telah wujud sejak 1748.

    Ia disambut dengan perarakan tentera tahunan, dikenali sebagai ‘Trooping the Colour,’ tetapi telah dibatalkan untuk tahun kedua berturut-turut disebabkan pandemik.- AFP

    Gambar fail menunjukkan Ratu Elizabeth II di WestminsterAbbey di London. Elizabeth II menyambut ulang tahun ke-95 kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda