Ratu Elizabeth lawat Stesen Paddington

LONDON, 17 MEI – Ratu Elizabeth II hari ini mengadakan kunjungan mengejut ke sebuah stesen kereta api yang dinamakan sempena namanya sebagai penghormatan kepada beliau, selepas masalah kesihatan baru-baru ini menghalang beliau menghadiri acara berkenaan.

Ratu Elizabeth II tersenyum ketika beliau melawat Stesen Paddington di London untuk melihat landasan kereta api baharu Elizabeth, sistem kereta api baharu yang dijangka mempercepat pengangkutan di bandar itu.

Berpakaian kot kuning dan topi yang dihiasi bunga, beliau menggunakan lif untuk turun ke platform, sambil memegang tongkat, dan menyertai anak lelakinya, Putera Edward, Earl of Wessex, yang sebelumnya diumumkan akan menghadiri acara tanpa beliau.

Ratu Elizabeth disambut oleh Perdana Menteri, Boris Johnson dan Datuk Bandar London, Sadiq Khan.

Landasan kereta api Elizabeth dijangka dibuka sebahagiannya kepada orang awam pada 24 Mei. Ia pada mulanya dijadual dibuka pada 2018, tetapi dihambat pelbagai masalah pembinaan dan sistem isyarat kompleks.

Pembukaannya dilancarkan sebelum sambutan Jubli Platinum pada hujung minggu dari 2 hingga 5 Jun.

Sebaik sahaja siap, sistem kereta api itu akan bergerak dari Reading, kira-kira 35 batu ke barat London ke Shenfield, kira-kira 21 batu ke timur, dengan pilihan untuk berhenti di lapangan terbang Heathrow.

Landasan kereta api itu dijadual siap pada 2018 dan bajetnya telah meningkat kepada £18.9 bilion.

Pengangkutan London berkata landasan kereta api baharu itu akan ‘mengubah era perjalanan di seluruh London dan Asia Selatan.’ – AFP

Ratu Elizabeth II (kanan) melawat Stesen Paddington di London kelmarin, untuk menandakan selesainya projek ‘Crossrail London,’ sebelum pembukaan perkhidmatan kereta api ‘Elizabeth’ minggu depan. – AFP