Ratusan albino adakan bantahan

LILONGWE, Malawi, 7 Mac – Polis Malawi semalam menyekat satu perarakan yang disertai kira-kira 200 orang albino menuju ke istana presiden dalam membantah kes pembunuhan dan penculikan mereka yang hidup dalam albinisme.

Kumpulan berkenaan, disertai bersama 500 orang pesimpati, dihalang di luar bang-unan parlimen, kira-kira satu kilometer dari Istana Kamuzu, di mana pihak polis telah mengepung untuk menghalang kemaraan mereka.

Malawi, salah sebuah negara termiskin di dunia, mengalami satu peningkatan dalam serangan pengganasan terhadap orang ramai yang hidup dalam keadaan albinisme sejak empat tahun kebelakangan.

Dalam kebanyakan kes, mereka yang mengalami albinisme, menjadikan anggota badan mereka sebagai sasaran untuk digunakan dalam ilmu kedukunan. Persatuan Albinisme di Malawi berkata pihaknya kecewa dengan kegagalan kerajaan dan bantahan tersebut adalah bertujuan untuk memaksa Presiden Peter Mutharika mengambil tindakan terhadap kes berkenaan.

Mutharika telah membuat perjalanan ke rantau utara negara itu.

Walau bagaimanapun, pihak polis kemudiannya membenarkan perhimpunan itu untuk sedikit bergerak.

Namun, para pembantah bertekad untuk berkhemah berdekatan istana presiden sehingga dia kembali.

“Kami tidak akan meninggalkan istana presiden sehingga Presiden Mutharika berjanji menangani isu tersebut termasuklah memberi alat amaran keselamatan kepada setiap seorang,” kata pemimpin persatuan berkenaan, Overstone Kondowe.

Alat tersebut akan dihubungkan kepada balai-balai polis dan akan diaktifkan sekiranya seorang albino berada dalam situasi bahaya.

Albino merupakan gangguan keturunan genetik, mengakibatkan sebahagian atau ketiadaan langsung pigmen dalam kulit, rambut dan mata, hingga menyebabkan mereka sering kali menghadapi masalah dan berdepan risiko tinggi mendapat penyakit kanser kulit.

Menurut laporan Amnesti Antarabangsa pada Jun 2018, sebanyak 148 jenayah telah dilaporkan dan meragut kira-kira 21 jiwa albino sejak November 2014. – AFP