Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Ratusan bantah kenaikan harga minyak

    JAKARTA, 12 SEPT – Ratusan pembantah hari ini berarak di ibu negara Indonesia, menuntut kerajaan menarik balik keputusan menaikkan harga minyak, mengatakan ia akan menjejaskan orang ramai yang sudah pun menderita impak ekonomi akibat pandemik.

    Pihak berkuasa menyekat jalan-jalan menuju ke Istana Presiden ketika pembantah, kebanyakannya memakai jubah, membanjiri jalan-jalan utama. Ramai daripadanya mengibarkan bendera kebangsaan Indonesia.

    Harga gasolin dan diesel meningkat kira-kira 30 peratus bulan lalu selepas pentadbiran Joko Widodo memotong subsidi minyak bagi mengurangkan defisit belanjawan bernilai berbilion dolar negara itu.

    Harga gasolin meningkat daripada 51 sen kepada 67 sen seliter dan minyak diesel daripada 35 sen kepada 46 sen seliter.

    Bantahan terhadap peningkatan itu telah diadakan di seluruh Indonesia, kebanyakannya oleh pelajar dan pekerja, namun di Jakarta, ia kelihatan tenang dalam masa tiga hari lalu sebelum bergolak semula pada demonstrasi hari ini.

    Muslimin dan Muslimah Indonesia semasa mengadakan bantahan kenaikan harga minyak di jalan-jalan di Jakarta. – AP

    Bantahan dianjurkan oleh pakatan konservatif Muslim yang pernah mengadakan demonstrasi besar-besaran 2016 terhadap gabenor etnik Cina Kristian Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang membawa kepada pemenjaraannya kerana kata-kata kufur.

    Dalam ucapannya, penyelaras bantahan, Ahmad Khozinudin mengecam keputusan kerajaan itu.

    Menurutnya, orang ramai sudah pun menderita akibat pandemik COVID dan kenaikan harga minyak akan menambah kesusahan mereka.

    “Kerajaan Widodo gagal menangani kemiskinan dalam negara ini,” katanya, berdiri di atas trak semasa berucap. “Sebaliknya, dia berbohong kepada orang ramai dengan mengingkari janjinya untuk tidak menaikkan harga minyak.”

    Para pembantah turut melaungkan ‘Allahuakbar’ dan ‘Kami sokong pekerja’ berhampiran jalan yang disekat. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...