Ratusan bantah pindaan perlembagaan Kyrgyzstan

BISHKEK, KYRGYZSTAN, 22 NOV – Ratusan orang membanjiri jalan di Kyrgyzstan hari ini untuk membantah perlembagaan baharu yang dikatakan oleh pengkritik akan memberikan kuasa kepada presiden dan menjejaskan kebebasan bersuara.

Pindaan perlembagaan yang sedang dibincangkan akan mengembalikan kuasa pembentukan kabinet kepada presiden dan membenarkan pemimpin sekarang bertanding untuk jawatan presiden.

Menurut mereka yang mengambil langkah inisiatif itu, draf perlembagaan harus dijadikan referendum pada 10 Januari, hari yang sama bekas negara Soviet itu mengadakan pilihan raya presiden.

Ratusan pembantah yang berkumpul di pusat ibu negara Bishkek memegang sepanduk mengecam ‘Khanstitution’ – rujukan kepada pemimpin kuasa mutlak yang menguasai negara Asia Tengah berabad lamanya.

Ada di antara mereka melaung slogan menentang Sadyr Japarov, yang meletak jawatan sebagai pemangku presiden dan perdana menteri pada bulan ini untuk bertanding dalam pilihan raya presiden yang dijadual pada 10 Januari, yang diramal dimenangi beliau.

Perlembagaan yang dicadangkan itu akan mengubah syarat-syarat yang ditetapkan dan memperkenalkan perhimpunan rakyat baharu yang harus melapor kepada parlimen dan kerajaan. – AFP

Pembantah memegang sepanduk ketika mereka menghadiri rapat menentang pindaan perlembagaan baharu di Bishkek kelmarin. – AFP