Ratusan beli cenderamata Disney

ANAHEIM, AMERIKA SYARIKAT, 10 JULAI – Pembukaan semula taman tema Disney’s California mungkin dihambat oleh koronavirus tetapi ratusan orang berbaris awal semalam untuk membeli barang Mickey Mouse dari sebuah plaza membeli-belah bersebelahan.

Daerah Disney Downtown – yang bersempadan taman tema Disneyland dan Disney California Adventure berhampiran Los Angeles – adalah antara resort pertama yang dibuka semula.

Ia membuka kedai dan restoran kepada peminat selepas ditutup hampir empat bulan disebabkan koronavirus.

“Saya telah berada di sini sejak pukul 11 malam,” beritahu seorang wanita kepada rangkaian berita tempatan KTLA.

Pelawat, kebanyakan mereka memakai pakaian Disney berwarna-warni serta penutup mulut dan hidung, diperiksa suhu badan di pintu masuk, kata wartawan AFP. Namun dengan taman tema masih ditutup disebabkan kes koronavirus meningkat di negeri AS, pelawat hanya dibenarkan mengunjungi kedai cenderamata World of Disney dan beberapa kafe dan kedai.

Tarikh pembukaan yang dijadualkan pada 17 Julai untuk taman dibatalkan pada bulan lalu, dan tidak ada tarikh baharu yang diumumkan. Disneyland ialah taman tema kedua paling dikunjungi di dunia, menyusuli di belakang taman di Florida, dan menarik puluhan ribu pelawat setiap hari. Ia masih satu-satunya taman tema Disney yang tidak mempunyai tarikh pembukaan semula. – AFP

Nikki Hastings dan Carlos Aguilera membeli pakaian Disney untuk saudara-mara di Kedai Hadiah LBV di Lake Buena Vista pada 8 Julai 2020. – AFP