COLOMBO, 17 April – Sri Lanka telah memindahkan lebih 400 buah keluarga ke tempat perlindungan sementara selepas bertantan sampah mereput runtuh ke kawasan sesak pada Jumaat, membunuh kira-kira 28 orang.
Kira-kira 145 buah rumah telah musnah apabila segunung sampah setinggi 300 kaki runtuh petang Jumaat di Kolonnawa di tepi timur laut Colombo. Polis berkata banyak bangunan musnah dan boleh runtuh pada bila-bila masa.
Ratusan askar masih lagi melakukan pencarian mangsa-mangsa terselamat di tengah-tengah laporan tujuh orang dari empat buah keluarga masih lagi hilang selepas bencana, yang disusuli hujan lebat pada hari sebelumnya dan kebakaran beberapa jam awalnya.
Ia muncul ketika negara itu meraikan tahun baru tradisional dan disusuli amaran kepada parlimen bahawa 23 juta tan sampah mereput memberi ancaman kesihatan serius.
“Kami masih lagi melakukan pencarian namun kami tidak berharap sangat untuk menemui sesiapa hidup-hidup dalam keadaan ini,” kata jurucakap tentera, Roshan Seneviratne kepada AFP hari ini.
Penemuan mayat seorang lelaki dengan kaki yang terkoyak semasa pencarian hari ini, telah meningkatkan jumlah kematian kepada 28, tambah Seneviratne.
Para pegawai pengurusan bencana berkata 1,700 orang telah dipindahkan ke tempat perlindungan sementara di sekolah-sekolah kerajaan sementara kerajaan mencari penginapan alternatif. – AFP