Ratusan gajah mati penuh misteri

GABORONE, BOTSWANA, 2 JULAI – Beratus-ratus ekor gajah telah mati dengan penuh misteri di Delta Okavango, Botswana, kata ketua jabatan hidupan liar hari ini, mengetepikan pemburuan kerana gading ditemui masih dalam keadaan baik.

Negara Afrika selatan itu mempunyai jumlah gajah terbesar di dunia, dianggarkan berjumlah sekitar 130,000.

“Kami menerima laporan 356 ekor gajah mati di kawasan utara Delta Okavango dan kami telah mengesahkan 275 setakat ini,” beritahu Cyril Taolo, pemangku pengarah jabatan Taman Hidupan Liar Negara kepada AFP dalam teks mesej.

Beliau berkata punca kematian masih belum diketahui dengan antraks diketepikan.

“Kami tidak mengesyaki keracunan kerana haiwan tersebut ditemui bersama gadingnya,” kata beliau.

Sampel telah dikumpul dan dihantar ke Afrika Selatan, Zimbabwe dan Kanada untuk ujian.

Kematian yang sama pertama kali dilaporkan pada Mei apabila pihak berkuasa menemui 12 bangkai dalam seminggu di dua kampung di barat laut negara.

Penemuan terbaharu dilancarkan oleh badan kebajikan pemuliharaan hidupan liar, Gajah Tanpa Sempadan (EWB), dengan laporan sulit merujuk kepada 356 gajah mati, dibocorkan kepada media semalam.

EWB mengesyaki gajah berkenaan telah mati di kawasan itu selama tiga bulan. – AFP