Ratusan lari dari penjara Papua

MANOKWARI, INDONESIA, 20 OGOS – Pihak berkuasa Indonesia  sedang memburu lebih 250 banduan yang lari dari penjara Papua yang dibakar semasa rusuhan ganas, kata para pegawai hari ini, ketika protes baharu meletus di rantau bergolak itu.

Insiden itu berlaku kelmarin ketika beberapa buah bandar di wilayah paling timur Indonesia – tempat pemberontak menentang pemerintahan Jakarta telah membahang selama berdekad-dekad – menyaksikan rusuhan dan bantahan dicetuskan oleh penahanan puluhan pelajar Papua.

Kira-kira separuh daripada 500 banduan penjara di bandar Sorong lari dari sel mereka ketika penjara dibakar oleh pembantah berang kelmarin, menurut pihak berkuasa.

“Seramai 258 banduan lari dan hanya lima daripada mereka pulang pagi ini,” kata jurucakap kementerian keadilan tempatan, Marlien Lande.

Beberapa kakitangan penjara cedera akibat dilontar batu oleh banduan-banduan ketika mereka cuba untuk menghentikan kejadian lari tersebut, tambahnya.

Ketika rantau itu mulai tenang, kira-kira 500 orang mengadakan perhimpunan lagi di Sorong hari ini dengan polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan khalayak ramai. – AFP

Sebuah bangunan terbakar di Sorong pada 20 Ogos selepas ia dibakar oleh pembantah merusuh. – AFP