VANCOUVER, 30 JUN – Lonjakan kes kematian di sekitar kawasan Vancouver dipercayai berkaitan gelombang panas yang melampau, kata pihak berkuasa semalam.
Kanada sedang bergelut dengan rekod suhu tertinggi ketika cuaca panas melanda hingga Barat Laut Pasifik Amerika Syarikat (AS).
Sekurang-kurangnya 134 orang dilaporkan meninggal dunia secara mengejut di Vancouver sejak Jumaat lalu, menurut perangkaan dikeluarkan jabatan polis bandar itu dan Polis Diraja Kanada.
Jabatan Polis Vancouver berkata, pihaknya menerima makluman berhubung lebih 65 kematian mengejut sejak Jumaat lalu, dengan kebanyakan dikatakan ‘berkait cuaca panas.’
Perkhidmatan kaji cuaca, Environment Canada melaporkan bahawa negara itu mencatat rekod baharu suhu tinggi untuk hari ketiga berturut-turut semalam, iaitu mencecah 49.5 darjah Celsius di Lytton, British Columbia, kira-kira 250 kilometer timur Vancouver.
Sarjan polis, Steve Addison berkata bahawa Vancouver tidak pernah mengalami keadaan cuaca panas sedemikian.
Pihak berkuasa tempatan di kawasan lain mengaku turut menerima banyak makluman mengenai kes kematian mengejut, namun belum mengeluarkan sebarang perangkaan rasmi setakat ini.
Perubahan iklim menyebabkan semakin kerap berlaku peningkatan suhu secara mendadak.
Secara global, dekad menjelang 2019 mencatat suhu tertinggi, dengan kesemua tahun paling panas berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. – AFP