Ratusan mayat Daesh tunggu dihantar pulang ke negara asal

TRIPOLI, 24 Julai – Pihak berkuasa Libya sedang dalam rundingan dengan beberapa pemerintah negara lain, bagi mencari penyelesaian berhubung ratusan mayat anggota militan Daesh yang kini dalam simpanan negara itu.

Kesemua mayat ditempatkan di sebuah bilik khas di bandar Misrata selepas operasi membanteras Daesh dilancarkan tentera Libya tujuh bulan lepas.

Seorang pegawai unit jenayah terancang Misrata berkata, mayat terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Tunisia, Mesir, Sudan dan Afrika Utara.

Menurut unit jenayah itu lagi, Ketua Pendakwa sedang berbincang mengenai urusan penghantaran balik mayat dan kini mereka menunggu keputusan pemerintah negara terlibat.

Ramai rakyat di negara terbabit meninggalkan negara masing-masing kononnya untuk berjuang atas nama jihad dan di Tunisia sahaja lebih 3,000 rakyatnya meninggalkan negara itu dan kini berada di Syria, Iraq serta Libya. – Bernama