Ratusan pekerja COVID-19 diberi kerakyatan Perancis

PARIS, 22 DIS – Ratusan warga asing di Perancis di mana pekerjaan mereka mendedahkan mereka kepada risiko tinggi COVID-19 akan diberikan kewarganegaraan atas komitmen mereka semasa krisis kesihatan, kata kementerian dalam negeri hari ini.

Kementerian itu pada September menjemput orang yang ‘menyumbang secara aktif’ dalam kempen memerangi koronavirus supaya memohon untuk menjadi warganegara.

Daripada 3,000 orang yang memberikan respons, 74 telah memperoleh kerakyatan dan 693 lagi berada dalam peringkat akhir proses, kata pejabat Marlene Schiappa, menteri junior untuk kerakyatan, dalam satu kenyataan.

“Profesional kesihatan, tukang cuci wanita, pekerja penjagaan kanak-kanak, kakitangan daftar keluar: Mereka semua membuktikan komitmen mereka kepada negara, dan sekarang tiba giliran negara untuk mengambil langkah untuk menghargai mereka,” katanya.

Selain itu, pihak berkuasa imigresen telah diarahkan supaya mengurangkan tempoh pemastautin yang diperlukan untuk mendapatkan kerakyatan kepada dua tahun daripada lima tahun dalam kes ‘sumbangan perkhidmatan amat penting.’

Tahun lalu, kira-kira 112,000 warga asing memperoleh kerakyatan Perancis, termasuk lebih 48,000 secara naturalisasi – 10 peratus lebih rendah berbanding 2018. – AFP