Ratusan pembantah Belarus ditahan

MINSK, 13 OGOS – Polis di Belarus berkata hari ini mereka telah menahan ratusan lagi pembantah apabila tunjuk perasaan diteruskan ke atas pemilihan semula pemimpin Alexander Lukashenko.

Pergolakan selama empat malam sejak pengundian pada Ahad telah menyaksikan ribuan ditahan, puluhan cedera dan dua orang terbunuh apabila polis menggunakan bom tangan, gas pemedih mata, penyembur air dan sekurang-kurangnya dalam satu kes, peluru hidup untuk meleraikan pembantah.

Pembangkang Lukashenko menuduhnya menipu dalam pilihan raya pada Ahad untuk menewaskan pencabar utamanya, calon pembangkang Svetlana Tikhanovskaya, yang meninggalkan negara bekas Soviet itu pada Selasa ke negara Lithuania.

Tokoh-tokoh berpengaruh Belarus termasuk penulis Svetlana Alexievich telah mengecam keganasan dan menggesa Lukashenko, yang telah memerintah Belarus secara kuku besi sejak 1994, supaya meletak jawatan.

Untuk hari kedua berturut-turut hari ini, puluhan wanita, kebanyakan mereka dalam pakaian putih dan memegang bunga, membentuk rantaian manusia di ibu negara Minsk untuk mengecam keganasan polis.

Kementerian dalam negeri berkata 700 orang telah ditahan kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram semalam, membawa jumlah orang yang ditahan sejak Ahad kepada lebih 6,700.

Kementerian berkata terdapat tunjuk perasaan yang kurang semalam berbanding malam-malam sebelumnya tetapi ‘tahap keganasan terhadap anggota penguat kuasa undang-undang masih tinggi.’ – AFP

Wanita memegang bunga berdiri di sepanjang jalan ketika mereka membantah keganasan polis semasa rapat penyokong pembangkang terbaharu di Minsk kelmarin. – AFP